Ahad, 17 Oktober 2021

142 daripada 6,145 pesakit baharu Covid-19 kategori 3, 4, 5


Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan 142 pesakit atau 2.3 peratus daripada 6,145 kes yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, membabitkan kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 6,003 atau 97.7 peratus lagi adalah pesakit dalam kategori satu dan dua.

Pesakit kategori satu adalah individu yang positif Covid-19 tetapi tidak bergejala, dan kategori dua adalah mereka yang bergejala ringan.

Pesakit kategori tiga adalah individu yang disahkan positif dan mengalami radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen, kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan oksigen), sementara kategori lima (memerlukan alat bantuan pernafasan).

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh itu juga seramai 682 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 640 pesakit yang disahkan positif Covid-19 manakala selebihnya masih dalam siasatan.

“Seramai 350 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan. Ini termasuk 281 pesakit yang disahkan positif dan selebihnya masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 6,133 daripada jumlah kes baharu itu melibatkan jangkitan tempatan yang turut membabitkan 378 bukan warganegara Malaysia dan 12 kes import(empat bukan warganegara).

Sementara itu, beliau turut memaklumkan sembilan lagi kluster baharu dikesan dalam tempoh itu menjadikan keseluruhan sejak awal tahun lalu terdapat 5,672 kluster, dengan 4,996 telah ditamatkan dan 676 lagi masih aktif.

Daripada jumlah kluster yang dikesan hari ini, enam melibatkan tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi yang dikesan di Manjung, Perak, melibatkan 21 individu daripada 32 yang disaring.

Johor merekodkan empat kluster tempat kerja iaitu membabitkan Batu Pahat seramai 30 individu daripada 98 yang disaring; Pontian (43 individu, 290 saringan); dan dua kluster di Kulai melibatkan 17 individu positif Covid-19 daripada 87 saringan.

Pulau Pinang pula merekodkan satu kluster tempat kerja di Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah melibatkan 33 individu daripada 62 yang disaring. Satu lagi kluster tempat kerja dicatat di Muallim, Perak membabitkan 52 individu daripada 80 yang disaring.

Sementara itu, daerah Kota Bharu dan Pasir Mas di Kelantan mencatat satu kluster komuniti melibatkan 12 individu daripada 15 saringan, dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang membabitkan 38 individu daripada 72 saringan.

Tiada ulasan: