Isnin, 18 Oktober 2021

Tubuh Biro Warga Emas

Oleh ARIF AIMAN ASROL
LEE LAM THYE

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mewujudkan Biro Warga Emas sebagai perisai untuk melindungi dan memelihara hak golongan itu di negara ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini bagi mendepani situasi negara yang bakal menjadi ‘negara tua’ dalam masa kurang daripada 10 tahun ini ketika 15 peratus penduduk adalah mereka yang tergolong dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas.

Menurut beliau, ini bermaksud akan ada cabaran yang lebih besar bagi pihak kerajaan, bahagian perubatan, industri perkhidmatan dan ahli keluarga untuk memenuhi keperluan masa depan warga emas yang merupakan golongan yang penuh ilmu pengetahuan dan pengalaman.

“Persoalannya kini, adakah kita cukup bersedia untuk apa yang akan terjadi? Sudah banyak masalah yang kita hadapi dan jika kita tidak mengatasinya sekarang, masalahnya akan berlipat ganda pada 2030.

“Masalah kesihatan antara masalah utama yang dihadapi oleh golongan warga emas. Jadi kerajaan perlu mewujudkan dasar yang memelihara mereka seperti memberi perubatan percuma serta keutamaan rawatan di hospital kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Satu laporan baru-baru ini menyatakan, sekurang-kurangnya separuh daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mempunyai simpanan yang melebihi RM10,000 dan ini sangat tidak mencukupi bila dibandingkan dengan kos sara hidup hari ini.

Lam Thye berkata, kerajaan juga boleh menyalurkan bantuan-bantuan khas kepada warga emas seperti alat bantuan pendengaran, pemeriksaan perubatan tahunan percuma serta keutamaan rawatan di hospital kerajaan selain cermin mata, kerusi roda dan gigi palsu yang memerlukan pembiayaan subsidi.

“Kebanyakan mereka, tidak mahu untuk menjaga kesihatan diri atas sebab bimbang jika menghadapi masalah kewangan, terutama mereka yang berada di dalam golongan B40,” katanya.

Jelas beliau, terdapat segelintir golongan warga emas yang terpedaya dengan helah penipuan dan terlibat dalam kes penganiayaan (financial abuse) dengan laporan Health and Morbidity Survey (2018) menyebut, satu daripada 100 warga emas di negara ini diperdaya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Dengan penubuhan Biro Warga Emas, ia akan membantu warga emas memahami literasi teknologi dan turut melengkapkan mereka dengan ilmu yang perlu untuk melindungi mereka dalam ruang teknologi,” katanya.

Tambahnya, ini adalah tanggungjawab kerajaan dalam melaksanakan usaha itu, kerajaan perlu bertindak dengan cepat supaya nasib golongan warga emas terbela.

Tiada ulasan: