Isnin, 18 Oktober 2021

Akibat dendam, pengutip sampah Myanmar mati ditikam

 Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

S. VIJAYA RAO

KLANG: Dendam lama dipercayai punca seorang pengutip sampah warga Myanmar maut ditikam di tapak pembuangan sampah Rantau Panjang di sini, minggu lalu.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikatakan mempunyai sembilan kesan tikaman di kepala, badan dan kakinya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mengenai mangsa yang dibawa rakannya untuk menerima rawatan pada pukul 10.11 malam, 10 Oktober lalu.

“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan hospital itu kemudian mengesahkan mangsa disahkan meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada pendarahan teruk akibat tikaman di belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, siasatan pihaknya mendapati dua suspek warga Myanmar disyaki terlibat dalam kes itu angkara dendam lama.

“Bertindak atas maklumat, seorang daripada suspek diberkas di Jalan Pengkalan Kubor, Kelantan pukul 2.50 petang Jumaat lalu.

“Lelaki berkenaan dipercayai cuba meloloskan diri ke Thailand menerusi sempadan Golok,” ujarnya.

 Kata Vijaya Rao, suspek direman enam hari bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 Tambah beliau, pihaknya sedang mengesan seorang lagi suspek etnik Rohingnya yang masih bebas.

 “Lelaki berkenaan dikenali sebagai Mohammad Hashim Dilbashar yang beralamat terakhir di Jalan Budaya, Kampung Rantau Panjang, Klang.

  “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32913344 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan M. James Sangar (013-4013403),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: