Ahad, 17 Oktober 2021

Saya bersumpah duit sumbangan adalah halal – Uncle Kentang

Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang. GAMBAR: Facebook Kuan Chee Heng

AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng bersumpah bahawa segala duit sumbangan yang diterimanya adalah daripada sumber yang halal.

Ia susulan dakwaan dalam media sosial kononnya Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang menerima wang sumbangan untuk menjalankan program kebajikan daripada hasil aktiviti bertentangan dengan undang-undang negara.

Menurut Uncle Kentang, setiap sen diterimanya adalah hasil sumbangan orang ramai yang sentiasa menyokong usaha kebajikan yang dilakukan.

“Saya dengan ini bersumpah dan mengaku bahawa duit sumbangan yang saya terima adalah halal serta tidak lain dari yang tak halal.

“Jangan jadi kekok dan tanya saya adakah duit sumbangan yang saya terima itu halal atau tidak atau perkhidmatan ambulan kita beri adakah dari hasil halal atau sumbangan halal,” katanya menerusi pengakuan yang dimuat naik dalam Facebook beliau.

Sejak akhir-akhir ini tular dalam media sosial dakwaan wang diterima Uncle Kentang bagi program kebajikan yang diusahakannya adalah hasil duit aktiviti haram kerana dikaitkan dengan seorang individu yang pernah berhadapan Akta Pengubahan Wang Haram.

Isu itu ditimbulkan satu akaun Twitter yang ‘membongkar’ perkara tersebut dan turut mendakwa individu berkenaan juga mempunyai hubungan baik dengan beberapa individu berpengaruh lain.

Sementara itu, Chee Heng turut meluahkan rasa sedihnya apabila segelintir pihak cuba mempertikaikan segala usaha yang telah dilakukannya selama ini.

Katanya, walaupun penat tetapi beliau tetap menjalankan kerja-kerja membantu golongan memerlukan.

“Tatkala makcik sakit dan tak mampu naik ambulan untuk rawatan, mana manusia yang halal itu pergi bantu beliau?

“Saya penat tetapi saya tetap jalankan kerja-kerja bantu mereka yang sakit, susah dan lapar.

“Saya bersumpah atas nafas yang tuhan sandarkan kepada saya segala usaha adalah daripada hati saya yang halal dan sumbangan itu semuanya adalah daripada individu-individu seperti kamu, orang biasa yang menyokong usaha kami,” jelas beliau.

Tiada ulasan: