Ahad, 17 Oktober 2021

Polis siasat rakyat Malaysia ditahan seludup dadah di Australia

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tangkapan seorang warganegara Malaysia yang dilaporkan ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup dadah jenis heroin ke negara tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Kata beliau, polis perlu mengambil segala tindakan perlu untuk memastikan kegiatan tersebut dapat dibanteras.

“JSJN kini sedang bekerjasama dengan pihak Australian Federal Police (AFP) bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Segala tindakan perlu akan diambil untuk memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang menjadi ancaman negara dapat dibanteras tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media melaporkan polis Australia telah membuat rampasan dadah jenis heroin terbesar negara itu bernilai kira-kira 140 juta dolar Australia (RM431.8 juta) dan menahan seorang warganegara Malaysia kerana cuba menyeludup dadah berkenaan.

Penyeludupan dadah seberat 450 kilogram itu dikesan dalam kontena kargo yang dihantar dari Malaysia dan dialamatkan kepada pusat perniagaan di Melbourne, Australia.

Warganegara Malaysia itu didakwa kerana cuba menyeludup dan memiliki sejumlah dadah dengan hukuman maksimum adalah penjara seumur hidup.

Komisioner Komando Selatan AFP, Krissy Barrett dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang bekerjasama dengan PDRM.

“Kami terus bekerjasama dalam mengenal pasti sindiket jenayah terancang merentasi negara yang berusaha untuk merosakkan kedua-dua negara dan menjana keuntungan berjuta-juta dolar daripada kegiatan jenayah,” katanya.

Tiada ulasan: