Rabu, 27 Oktober 2021

Sasterawan Negara, Kemala meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Kemala, meninggal dunia, hari ini.

Kematian Allahyarham disahkan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Mohamad Saleeh berkata, Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari selepas berada dalam keadaan uzur kerana beberapa penyakit termasuk komplikasi buah pinggang.

"Pemergian beliau adalah kehilangan besar bagi dunia sastera Malaysia.

"Sumbangannya bukan sahaja dalam bentuk karya puisi, kritikan, dan prosa yang bermutu tinggi dan menjadi antara ikon sastera tanah air, malah gerakan sastera yang dilancarkan beliau sebagai aktivis memberikan kesan yang besar dalam perkembangan sastera dan jalinan sastera di peringkat antarabangsa.

"PENA sangat menghargai sumbangannya selama ini dan untuk mengenang jasa serta sumbangan beliau, kerajaan diharap dapat merancang sesuatu yang bermakna dan monumental sifatnya," katanya.

Dalam pada itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam hantaran di Facebook, menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan yang besar kepada negara khasnya dalam dunia sastera tanah air

"Allahyarham memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan sastera tanah air dan nusantara.

"Allahyarham sentiasa memberikan kerjasama yang sangat baik dan bergiat aktif bersama-sama DBP demi bahasa dan persuratan Melayu," katanya.

Ahmad Kamal, 80, pernah bertugas di DBP bermula pada tahun 1968 bermula sebagai penolong penyunting, sebelum menjadi editor majalah-majalah sastera dan berbagai lagi dan sebelum bersara pada 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Difahamkan, jenazahnya akan dimandikan dan disembahyangkan di Surau As Shahabah, Seksyen 7 Kota Damansara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, selepas solat Asar.

Tiada ulasan: