Rabu, 27 Oktober 2021

'UMNO, PAS carilah persamaan, bukan perbezaan'

MELAKA: Gabungan dan kerjasama parti UMNO dan PAS sentiasa dinantikan oleh rakyat di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Bagi mereka, perpecahan dan pertandingan membabitkan parti itu tidak memberi keuntungan kepada rakyat kerana ia bakal mengurangkan kuasa Melayu dalam pentadbiran negeri berkenaan.

Ahli perniagaan, Ismail Musa, 54, berkata rata-rata mereka amat menantikan jalinan kerjasama berkenaan bagi mengelak pertembungan tiga penjuru sehingga berlaku perpecahan undi Melayu.

Ismail Musa
Ismail Musa

Justeru, katanya, amat wajar semua pemimpin parti Muafakat Nasional (MN), malah Perikatan Nasional (PN) duduk menyelesaikan perkara berkenaan dari hati ke hati bagi menuju jalan penyelesaian.

"Malah, kenyataan positif pemimpin PAS Pusat dan isu berkaitan jalinan kerjasama itu disambut baik, sekali gus menolak salah faham yang tidak memberi apa-apa kelebihan kepada masa depan generasi muda kaum ini.

"Jadi, saya mengharapkan parti terutama UMNO, PAS dan juga BERSATU terus berusaha membuka pintu rundingan ke arah kerjasama tanpa bertembung sesama sendiri.

"Secara logiknya, kekuatan lebih padu jika bersama-sama dalam sebuah pasukan berbanding dengan bergerak sendirian kerana perpecahan, terutama dalam MN bakal menyebabkan kelebihan yang ada kepada UMNO, malah PAS tetap tergugat sekali gus membuka ruang Pakatan Harapan (PH) menguasai PRN Melaka," katanya.

Bahar Sarudi
Bahar Sarudi

Penduduk, Bahar Sarudi, 63, berkata dia juga menyokong usaha kerjasama kerana rakyat mahu melihat perpaduan bangsa dalam menegakkan Islam dan kekuatan ekonomi Melayu yang lebih drastik jika MN dan PN membentuk kerajaan.

"Bagi akar umbi, mereka hanya menunggu arahan untuk bertindak bersama-sama kerana perpecahan yang sekian lama tidak memberi manfaat besar kepada rakyat," katanya.

Jalil Ismail
Jalil Ismail

Jalil Ismail, 74, pula berkata kerjasama lebih baik kerana mewujudkan persefahaman yang positif dalam membina negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Baginya, cari persamaan kerana ia menjadi amalan Islam dengan mengetepikan perbezaan kerana setiap masalah ada penyelesaiannya.

"Jika kerjasama ini berjaya dibentuk, ia amat menarik terutama dalam situasi pandemik ketika ini sekali gus memberi nilai tambah kepada bangsa Melayu," katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dilaporkan berkata pihaknya optimis MN dan PN akan menuju penyatuan menjelang PRN Melaka walaupun masa semakin suntuk menjelang tarikh penamaan calon pada 8 November depan.

Tiada ulasan: