PETALING JAYA: Usahawan kosmetik Nur Sajat tidak membuat laporan polis mengenai serangan seksual yang dialaminya, kata polis Selangor.
Nur Sajat, yang baru-baru ini diberikan suaka di Australia mendakwa dia telah dikasari oleh pegawai penguat kuasa agama.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata, mereka hanya menerima laporan bahawa Nur Sajat dikasari ketika ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Januari, lapor The Star.
“Kami membuka siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana secara dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
“Tidak ada laporan mengenai serangan seksual atau cabul dalam laporan polis,” katanya memetik akhbar harian berbahasa Inggeris itu.
Dalam temu bual dengan New York Times, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman berkata kejadian itu disaksikan ibunya sendiri, yang menegur dan mempertikaikan perbuatan berkenaan oleh seseorang yang sepatutnya alim.
“Dia dimaklumkan, tidak mengapa kerana Nur Sajat lelaki.
“Mereka melihat tidak salah menyentuh bahagian sulit dan dada saya kerana menganggap saya lelaki,” katanya.
Selepas kejadian itu, Nur Sajat membuat laporan polis, dan beberapa hari kemudian pihak berkuasa berkata seorang pegawai penguat kuasa jabatan agama dipanggil untuk memberikan kenyataan.
Menurut Sajat, kejadian itu berlaku Januari lalu ketika dia dipanggil ke Jabatan Agama, di mana dia dan beberapa anggota keluarga serta rakan telah menemui pegawai-pegawai yang mendakwa menerima aduan awam mengenainya.
Beliau mendakwa, ketika disoal sekurang-kurangnya tiga lelaki mengasarinya termasuk meraba dadanya sebelum dia dimasukkan ke tempat tahanan lelaki untuk semalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan