Jumaat, 22 Oktober 2021

Kes tapak pembuangan sampah haram Selangor turun, kata exco

twitter sharing button
whatsapp sharing button
email sharing button
Akta-akta sedia ada dan tindakan penguatkuasaan oleh PBT di Selangor 
didapati memadai buat masa ini untuk menangani isu tempat pembuangan 
sampah haram, menurut Ng Sze Han.

SHAH ALAM: Statistik daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menunjukkan kes berkaitan tempat pembuangan sampah haram di Selangor mencatatkan penurunan ketara daripada 1,983 kes pada 2019 kepada 874 kes tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri Ng Sze Han dalam kenyataan berkata, penurunan sebanyak 56% itu jelas amat signifikan sekali gus membuktikan bahawa kerajaan Selangor berada pada landasan yang tepat bagi membendung masalah sampah haram ini.

Katanya, perkembangan ini menunjukkan bahawa tiada korelasi yang jelas untuk mengaitkan isu sampah haram dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang tidak diterima pakai di Selangor.

Menurutnya, berdasarkan statistik berkenaan, akta-akta sedia ada dan tindakan penguatkuasaan oleh PBT didapati memadai buat masa ini untuk menangani isu tempat pembuangan sampah haram di Selangor.

Ng berkata demikian bagi menyangkal kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Mohd Zain Hassan yang dilaporkan berkata, terdapat lambakan tapak pelupusan sampah haram di Selangor adalah berikutan negeri ini tidak tertakluk pada Akta 672.

Beliau menambah kenyataan Mohd Zain itu adalah kurang tepat, berat sebelah dan tidak berlandaskan fakta.

Tiada ulasan: