Selasa, 5 Oktober 2021

Remaja maut motosikal dirempuh pikap

 Oleh Noorazura Abdul Rahman 

Keadaan mangsa kemalangan motorsikal yang dinaiki tiga beradik dirempuh sebuah pacuan empat roda di di Jalan Sidam Kiri, Sungai Petani hari ini.
Keadaan mangsa kemalangan motorsikal yang dinaiki tiga beradik dirempuh sebuah pacuan empat roda di di Jalan Sidam Kiri, Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI: Seorang remaja perempuan maut manakala dua adik lelakinya cedera selepas motosikal ditunggang terbabit dalam nahas dengan sebuah pikap di Jalan Sidam Kiri di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun yang menunggang motosikal bersama dua adiknya berusia sembilan dan 11 tahun dikatakan melintas untuk pulang ke rumah di Kampung Sapi, Padang Buluh, Padang Serai di sini.

"Motosikal itu melintas secara tiba-tiba, menyebabkan pemandu Toyota Hilux berusia 34 tahun dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala ke Padang Serai tidak sempat membrek lalu merempuh motosikal terbabit.

"Susulan pelanggaran pada jarak dekat, tiga beradik itu tercampak ke tengah jalan dan remaja perempuan berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Adzli berkata, motosikal mangsa remuk manakala Toyota Hilux berkenaan turut mengalami beberapa kerosakan pada bahagian hadapannya.

Katanya, pemandu kenderaan itu tidak mengalami kecederaan manakala dua adik mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan lanjut.

"Mayat mangsa turut dibawa ke unit forensik HSAH untuk bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Tiada ulasan: