Selasa, 5 Oktober 2021

Malaysia bantah pencerobohan kapal China ke perairan negara

BH ONLINE
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memanggil Duta Besar China, semalam, untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap keberadaan serta aktiviti kapal negara itu, termasuk kapal penyelidikan, dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, lewat malam tadi, keberadaan serta aktiviti kapal terbabit adalah bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (KUUL) 1982.

"Pendirian dan tindakan konsisten Malaysia adalah berdasarkan undang-undang antarabangsa, demi mempertahankan kedaulatan serta hak kedaulatan dalam perairan negara," katanya.

Sebelum ini, Malaysia juga pernah membantah pencerobohan oleh kapal asing yang lain ke dalam perairan negara.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam menentukan pendirian dan tindakan diambil Malaysia berhubung isu Laut China Selatan yang kompleks serta membabitkan hubungan antara negara, kepentingan Malaysia akan terus dijadikan asas utama.

"Malaysia mengulangi pendirian bahawa semua perkara berkaitan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif, selaras prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuk KUUL 1982," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: