Rabu, 6 Oktober 2021

PRN Melaka: Hishamuddin akan dapatkan pandangan pakar


Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, pihaknya akan dapatkan pandangan pakar tentang kesan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.

Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan semua aspek keselamatan dan risiko diambil kira untuk mengelakkan kejadian selepas PRN Sabah tidak berulang.

“Saya nak tahu daripada pakar-pakar apa kesanya kalau kita adakan PRN di Melaka. Jadi itu pertimbangan yang perlu kita fikirkan dalam memutuskan apa yang patut kita meniti perkembangan di negeri Melaka.

“Kita belajar daripada apa yang berlaku dalam PRN Sabah dan kita tengok kesannya. Agenda kita adalah untuk selamatkan rakyat,” katanya lapor Astro Awani.

Kata Hishamuddin lagi, pandangan segala kepakaran itu akan membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“SPR akan tentukan selepas kita bawa kepada pimpinan tertinggi. Saya dah arah MKN untuk dekati pihak berkenaan termasuk KKM,” katanya lagi.

Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya pada Isnin.

Empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Tiada ulasan: