Selasa, 5 Oktober 2021

Jaga hilang selepas terserempak pencuri

KLUANG: Seorang pengawal keselamatan, hilang selepas terserempak pencuri dalam kejadian kecurian kelapa sawit di ladang Ulu Remis Sime Darby Layang-Layang di sini, petang semalam.

Sebelum hilang, Muhammad Shahrizuan Pairon, 22, dikatakan sempat melaporkan kes kecurian baki buah tandan segar yang berada di dalam tong pada jam 7.22 petang kepada kumpulan kerjanya menerusi WhatsApp.

Bapa saudaranya, Adanan Baharudin, 61, berkata dua rakan sekerjanya iaitu Sarjan Fairul Md Saud dan Lans Koperal Mohd Khairi Adha Yahya bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat itu.

"Mereka mendapati pagar dipecahkan, namun palang pagar dalam keadaan bertutup.

"Anak saudara saya yang sedang bertugas termasuk motosikal Honda Wave miliknya dan suspek tiada di lokasi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Adanan berkata, perkara itu kemudian dimaklumkan kepada pihak pengurusan majikan Shahrizuan yang terus melakukan pencarian di lokasi namun dia gagal dikesan.

"Rakannya juga cuba menelefon Shahrizuan namun gagal dan seterusnya bertindak meminta bantuan dari pekerja ladang berhampiran sementara pihak pengurusan menghubungi polis," katanya.

Katanya, pada jam 10.30 malam hingga 3 pagi hari ini, operasi pencarian membabitkan empat anggota dari Balai Polis Balai Layang-Layang dan 14 anggota polis bantuan belum menjumpai Shahrizuan.

"Operasi pencarian bersambung pada jam 8 pagi tadi dengan bantuan dari Polis Balai Layang-Layang, JBPM Renggam, JPAM Kluang selain polis bantuan dari ladang berhampiran.

"Laporan awal dibuat dan dimajukan kepada Ketua Balai Polis Layang-Layang," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata sehingga kini operasi masih diteruskan.

Tiada ulasan: