Rabu, 6 Oktober 2021

PRN Melaka: BN berpeluang tingkat jumlah kerusi

 Oleh MOHAMAD ATHIR ISMAIL

ISHAM JALIL

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak mempunyai peluang untuk menguasai Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) jika diadakan, ekoran pakatan tersebut didakwa gagal menunaikan janji selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Justeru, Barisan Nasional (BN) diyakini mempunyai peluang yang lebih baik berbanding PH serta Perikatan Nasional (PN) yang dilihat terdiri daripada ramai pelompat parti dan didkawa tidak disukai pengundi.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil yang menjangkakan jika pilihan raya diadakan, BN berupaya meningkatkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membentuk kerajaan negeri baharu.

“Bagi BN pula, jika dilihat selama berdekad-dekad BN terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik untuk kestabilan politik dan ekonomi serta memulihkan negara dari krisis. 

“Sebab itu saya lihat jika pilihanraya negeri diadakan di Melaka, pada hemat saya BN boleh menang sekurang-kurangnya 17 ke 21 daripada 28 kerusi DUN dan membentuk semula kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu, akhbar melaporkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan DUN negeri itu bubar selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Justeru, pembubaran itu bakal menyaksikan pemilih di Melaka bakal turun mengundi dalam pilihan raya yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Walau bagaimanapun, bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri ke-6 itu bersetuju dengan gambaran Presiden UMNO yang  juga Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai keperluan perisytiharan darurat di negeri berkenaan susulan ke Covid-19 di sana masih belum reda.

Menurutnya, penangguhan pilihan raya boleh dilakukan sehingga wabak pandemik itu reda seperti dibuat di Sarawak yang sepatutnya melaksanakan PRN pada Ogos lalu.

“Melaka mempunyai lebih kurang 500,000 pengundi yang tinggal di luar negeri itu. Jika pilihan raya diadakan, kemungkinan besar pengundi-pengundi luar ini akan menghadapi kesukaran untuk mengundi atau merentas negeri.

“Oleh itu pilihan raya mungkin tidak sesuai dilakukan pada masa ini. Kita tidak mahu apa yang berlaku selepas PRN di Sabah dahulu berlaku pula di Melaka dan berjangkit ke negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Minggu lepas kadar jangkitan Covid-19 (Rt/Ro) di Melaka adalah tertinggi di negara ini berbanding negeri-negeri lain. Kadar jangkitan Melaka juga melebihi 1 iaitu 1.01, dan jauh lebih tinggi daripada purata kebangsaan iaitu 0.89,” jelasnya.

Oleh yang demikian, beliau tidak melihat PRN sebagai satu platform untuk mempercepatkan kadar vaksinasi di Melaka kerana ia merupakan dua perkara berbeza. Pemberian vaksin perlu dipercepatkan tidak kira samada pilihanraya diadakan atau tidak.

Untuk makluman, kadar vaksinasi penduduk dewasa di Melaka dilaporkan baru mencapai kira-kira 65 peratus.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: