Rabu, 6 Oktober 2021

Ingatkan ‘ikan’ rupanya dadah bernilai RM500,000

Oleh SURAIDAH ROSLAN
 
ABDULLAH Jaapar (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah seberat 12.41 kilogram yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Taktik menyembunyikan dadah seberat 12.41 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM501,026 di dalam kotak polisterin berisi ikan sejuk beku berjaya dikesan pihak berkuasa.

Cubaan kedua mengeksport ikan sejuk beku bersama dadah ini dikesan melalui pemeriksaan kargo oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada pukul 5 petang, 29 September lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, ini merupakan rampasan kedua menggunakan modus operandi yang sama dalam tempoh dua bulan ini.

Beliau berkata, rampasan dadah kali ini ditemukan di dalam 23 kotak polisterin ikan sejuk beku membabitkan dadah jenis syabu seberat 9.22 kg yang dianggarkan bernilai RM331,956 serta dadah jenis ketamin seberat 3.19 kg dengan nilai anggaran RM169,070.

Katanya, rampasan itu dibuat berdasarkan hasil maklumat risikan dan pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kaitan antara rampasan dadah pada bulan Ogos dan bulan ini. Kedua-dua rampasan ini menggunakan modus operandi yang sama.

“Dadah ini cuba diseludup ke negara lain menggunakan khidmat penghantaran barangan. Oleh itu, kita sedang menyiasat ejen-ejen penghantaran barangan ini kerana dua kes yang berjaya ditumpaskan ini berlaku pada tempoh yang begitu dekat,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan kedua-dua kes itu mempunyai kaitan tetapi, beliau minta diberikan ruang untuk menjalankan siasatan terperinci terlebih dahulu.

Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat berikutan rampasan dadah yang dilakukan di LTAKK ini.

Abdullah berkata, modus operandi pengedar dadah ini adalah menyembunyikan dadah dalam plastik yang diletakkan di bahagian bawah bungkusan ikan sejuk beku di dalam kotak polisterin yang ingin dieksport melalui khidmat penghantaran barangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B(1)(a)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup. Dadah ini dipercayai boleh menampung kira-kira 50,000 orang penagih dadah.

Beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan seperti rokok, minuman keras, mercun mahupun dadah yang akan merugikan negara dari segi hasil serta mendatangkan ancaman keselamatan kepada negara.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah penyeludupan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa melalui talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran.

Pada 29 Ogos lalu, JKDM turut merampas dadah seberat 8.67 kg bernilai kira-kira RM404,375 di LTAKK yang menggunakan modus operandi sama, iaitu diletakkan dalam kotak polisterin yang diisi dengan ikan sejuk beku.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: