Isnin, 25 Oktober 2021

Pertimbang semula larangan himpunan fizikal, ceramah, gesa Bersih 2.0 kepada kerajaan

Arahan Menteri Kesihatan adalah tidak konsisten dengan garis panduan 
PPN kerana ia mensasarkan aktiviti berkaitan pilihan raya, menurut 
Bersih 2.0

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) meminta kerajaan mempertimbangkan semua larangan perhimpunan fizikal dan ceramah berkaitan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dari 25 Oktober sehingga 27 November ini bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Bersih 2.0 berkata, bantahan itu disuarakan kerana ia boleh merugikan parti bukan kerajaan kerana media kerajaan akan sentiasa melaporkan aktiviti dan pencapaian calon parti kerajaan serta menonjolkan kegagalan pembangkang.

Menurut Bersih 2.0, walaupun larangan itu ditujukan kepada semua parti politik dan calon, mereka bimbang ia akan menjadikan perlawanan berat sebelah dan menimbulkan keraguan berkaitan keputusan pilihan raya nanti.

“Kami memahami ia adalah langkah pencegahan penularan wabak, tetapi larangan secara total adalah satu bentuk penindasan kepada hak calon untuk berkempen dan berekspresi.

“Pengundi juga perlu membuat keputusan dengan mendengar sendiri penerangan daripada calon,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, memadai apabila Melaka telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 18 Oktober dengan SOP untuk aktiviti sosial dan ziarah dibenarkan dengan had 50% kapasiti ruang dan pematuhan penjarakan fizikal.

Jelasnya, arahan Menteri Kesihatan tidak konsisten dengan garis panduan PPN kerana ia mensasarkan aktiviti berkaitan pilihan raya.

Pada masa sama, Bersih 2.0 juga mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan peraturan, syarat dan alternatif agar larangan yang dibuat tidak menekan hak parti dan calon untuk berkempen:

Penamaan calon

  • Menyediakan tempoh tidak kurang daripada tujuh hari untuk calon menghantar borang penamaan ke pejabat SPR Melaka dan memastikan mereka menyemak serta membetulkan sebarang kesalahan sebelum berakhirnya penamaan calon. Penolakan secara tiba-tiba perlu dielakkan dan tidak sepatutnya berlaku.
  • Senarai calon yang berjaya perlu dipamerkan secara atas talian pada pukul 10 pagi pada hari penamaan calon. Penyokong parti politik dan calon tidak lagi perlu berkumpul di pusat penamaan di seluruh Melaka.

Tempoh berkempen

  • Penetapan peraturan supaya kerusi perlu disediakan untuk ceramah atau perhimpunan politik dan dijarakkan satu meter serta semua peserta perlu duduk. Ini juga perlu terpakai kepada perhimpunan kecil di kedai makan dan pasar pagi atau malam. Pelitup muka wajib dipakai setiap masa oleh penceramah dan peserta.
  • Ziarah rumah ke rumah, hanya lima orang dalam satu kumpulan dibenarkan dan mereka tidak boleh memasuki rumah atau berada dua meter dari tuan rumah semasa berucap.
  • SPR juga perlu memanggil stesen TV dan radio kerajaan untuk menyediakan slot siaran parti politik kepada semua parti dan calon termasuk calon bebas. Masa yang diperuntukkan perlu sama rata.
  • Stesen media penyiaran boleh memainkan peranan yang lebih besar semasa pilihan raya dengan menganjurkan diskusi panel oleh calon-calon untuk membicarakan isu tempatan dan pandangan calon dapat didengari.
  • Debat Ketua Menteri perlu dianjurkan dan disiarkan di semua saluran televisyen kerajaan sekurang-kurangnya dua kali selepas hari penamaan dan dua hari sebelum pengundian.
  • SPR boleh menyediakan dan menaja sekurang-kurangnya satu papan tanda di kawasan utama di setiap 28 DUN di mana maklumat calon bertanding dipamerkan bersama simbol mereka. Ini akan membantu parti kecil dan calon bebas untuk mendapat perhatian yang diperlukan.

Hari pengundian

  • Untuk mengurangkan kesesakan semasa mengundi, SPR perlu mempertimbangkan meluaskan hari pengundian kepada tiga hari serta menetapkan hari dan masa kepada kategori pengundi yang berbeza berdasarkan kumpulan umur. Ini juga akan mengurangkan keperluan pelbagai saluran dijaga oleh pelbagai set petugas pilihan raya.
  • SOP penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan mesti dipatuhi serta semua petugas pilihan raya perlu dilatih untuk melindungi diri dan pengundi daripada jangkitan.
  • Pengundi yang belum divaksin perlu dibenarkan melaksanakan hak mengundi. Satu khemah kesihatan perlu didirikan untuk menyediakan ujian RTK-Antigen air liur atau calitan hidung bagi mengesahkan mereka bebas daripada Covid-19 sebelum dibenarkan mengundi bersama pengundi lain. Mereka yang positif Covid-19 perlu dibenarkan membuang undi secara berasingan di khemah kesihatan itu.
  • Perhimpunan di pusat pengiraan dan penjumlahan undi perlu dihadkan dan semua keputusan perlu disiarkan secara langsung di saluran TV kebangsaan.

Bersih 2.0 menggesa SPR mengambil peluang ini bagi memperkenalkan kaedah baharu dan inovatif seperti yang dicadangkan agar tugas penting untuk menyertai pilihan raya dan demokrasi tidak ditekan semasa pandemik kesihatan.

“Walaupun KKM perlu memainkan peranan bagi memastikan risiko penularan kekal rendah, ia tidak wajar mengatasi peranannya sendiri dan menetapkan peraturan pelaksanaan pilihan raya yang tidak diperlukan,” kata Bersih 2.0.

Tiada ulasan: