Isnin, 25 Oktober 2021

Malaysia sukar berubah selagi isu kaum, agama didendang, kata Nazir

Nazir Razak berkata langkah mencetuskan ketegangan kaum menyekat usaha 
kumpulan reformis sebelum ini daripada menjadikan pembaharuan yang 
dirancang kenyataan.

PETALING JAYA: Masyarakat majmuk biasanya “sukar untuk diurus” menyebabkan isu perkauman mencemari pelbagai isu lain dan langkah ke arah pembaharuan, kata bekas Pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak.

Nazir berkata, masalah berkaitan perkauman dan agama yang menghalang inisiatif pembaharuan tidak unik kepada Malaysia tetapi merupakan cabaran yang ditempuh oleh banyak negara demokrasi baharu yang lain.

“Apa yang kita lihat dalam masyarakat majmuk di seluruh dunia ialah apabila demokrasi cuba berkembang, ia berdepan kesukaran kerana setiap pembaharuan dan penambahbaikan akan diserang oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu dan menjadi efektif kerana diselitkan ke dalamnya naratif berkaitan bangsa dan agama.

“Kita melihat perkara ini dalam cadangan Najib (Najib Razak) untuk mewujudkan langkah afirmatif berdasarkan keperluan pada 2009. Ia adalah langkah besar tetapi terkubur sejak awal lagi,” katanya yang merujuk inisiatif dasar diperkenalkan oleh abangnya Najib ketika menjadi Perdana Menteri.

“Kemudian kita mempunyai pembaharuan yang lebih lunak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), iaitu (pengiktirafan) UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina), dan anda ada kemahuan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) misalnya, yang dilihat sebagai pembaharuan yang agak lunak tetapi tidak dapat dilakukan susulan ia diserang disebabkan satu komuniti percaya mereka tidak mendapat kelebihan.”

Beliau berkata, langkah mencetuskan ketegangan kaum menyekat usaha kumpulan reformis sebelum ini daripada menjadikan pembaharuan yang dirancang kenyataan.

“Jika anda masih ingat pada awal pentadbirannya, Najib merupakan Perdana Menteri yang membawa transformasi. Apabila Mahathir 2.0 mentadbir, mereka juga mempunyai senarai pembaharuan yang panjang dalam manifesto PH.

“Malah Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) juga pada awalnya adalah Perdana Menteri reformis.

“Sistem kita terbina untuk menolak pembaharuan. Ahli politik pada asasnya akan bertindak mengikut sistem insentif mereka. Apakah sistem insentif mereka hari ini? Ia berpunca daripada sistem pilihan raya. Cuba lihat sempadan kawasan pilihan raya kita dan bagaimana ia dibentuk yang mendorong tingkah laku ahli politik”

Beliau berkata, sesetengah kawasan pilihan raya dengan hampir 90% pengundinya terdiri daripada satu kumpulan kaum, maka sudah tentu seseorang ahli politik akan bertindak mengikut kehendak pengundi di situ.

Nazir berkata, mungkinkah terdapat cara yang lebih baik untuk melakukan pembaharuan yang diperlukan oleh negara dalam situasi politik semasa ini.

“Dalam situasi seperti ini, saya fikir jalan terbaik ialah mengetengahkan semua cadangan pembaharuan secara terbuka dan mengadakan rundingan antara pelbagai kumpulan.

“’OK, mari kita perkenalkan perkara ini yang akan memberi manfaat kepada anda, tetapi perkenalkan ini juga perkara yang akan memanfaatkan kita semua. Kemudian wujudkan penyelesaian kompromi yang baik untuk semua.

“Inilah yang berlaku pada 1970 dan saya rasa kita perlukannya sekarang untuk membina semula negara ini.”

Beliau mencadangkan penubuhan majlis perundingan yang dinamakannya Perhimpunan Malaysia Lebih Baik (Better Malaysia Assembly) yang terdiri daripada kumpulan masyarakat luas termasuk orang awam dalam usaha menggerakkan pembaharuan.

Majlis ini menyerupai Majlis Perundingan Negara yang diwujudkan pada 1971 susulan rusuhan kaum yang berlaku pada 1969 yang merangka dasar dan program baharu untuk meredakan ketegangan kaum dan membantu negara berkembang pada tahun-tahun berikutnya.

“Kita perlu mempunyai proses yang membabitkan semua golongan. Saya cadangkan kerajaan, pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama berbincang untuk memilih individu sesuai bagi menganggotai perhimpunan. Saya ingin melihat ia dianggotai semua lapisan masyarakat, bukan hanya golongan cendekiawan.

“Saya ingin melihat majoriti besar rakyat Malaysia memandang tinggi majlis ini dan berkata, ‘OK, sekurang-kurangnya terdapat satu atau dua orang yang saya hormati dan percaya serta berasa diri saya juga termasuk dalam proses itu.”

Beliau berkata, bentuk demokrasi musyawarah inklusif telah pun dilihat di tempat seperti Ireland di mana orang ramai turut menyertai perbincangan mengenai isu-isu yang akhirnya membawa kepada referendum bersejarah yang membenarkan pengguguran kandungan di negara Katolik itu.

Katanya, demokrasi perwakilan yang diamalkan di Malaysia mesti dipersoalkan kerana terdapat kelemahan dalam sistem yang menyaksikan seorang wakil rakyat ditugaskan untuk mengundi atas kepentingan keseluruhan pengundi yang mereka wakili.

“Dalam versi demokrasi perwakilan kita, jika saya mengundi anda untuk tempoh lima tahun lagi, maka anda akan mengundi bagi pihak saya untuk semua perkara.”

“Namun pada hakikatnya, untuk tempoh lima tahun akan datang anda akan mengundi mengikut kehendak whip parti atau menurut apa yang anda perlu lakukan untuk pilihan raya akan datang. Terdapat kelemahan dalam sistem itu.

“Sistem yang kita warisi sejak 1957 ini adalah kerana kita adalah koloni British dan tidak ada sebab atau alasan mengapa kita perlukan sistem ini.

“Pada waktu dulu, orang British menyangkakan sistem mereka adalah terbaik tetapi adakah ia sesuai untuk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, sejarah kita dan lain-lain? Saya rasa sudah tiba masanya kita merenungkan persoalan seperti ini.”

Tiada ulasan: