Ahad, 24 Oktober 2021

Perhimpunan berkaitan pilihan raya dilarang bermula esok

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melarang apa juga bentuk perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya berkuat kuasa esok hingga 27 November depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata perhimpunan itu termasuk termasuk penganjuran majlis seperti pelancaran jentera pilihan raya.

Katanya, larangan itu dibuat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dan peningkatan kes mendadak.

Selain itu, katanya, larangan berkenaan selari dengan senarai aktiviti tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara prosedur operasi standard (SOP) Fasa Keempat yang terkini.

"Larangan ini berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293/2021) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta 342.

"Semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiada ulasan: