Ahad, 24 Oktober 2021

Empat negeri dikenal pasti lokasi buang sisa toksik haram

KUALA LUMPUR: Selangor, Johor, Pahang dan Perak dikenal pasti antara negeri yang mempunyai banyak kawasan dijadikan tempat pembuangan sisa toksik secara haram di negara ini.

Ia berdasarkan cerapan imej menggunakan satelit secara berkala yang dijalankan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) susulan tragedi Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang, Johor yang tercemar dengan sisa kimia berbahaya, tiga tahun lalu.

Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah, berkata sebahagian data cerapan berhubung pelupusan sisa toksik itu telah dibentangkan kepada pihak berkuasa di negeri terbabit untuk penelitian dan tindakan seterusnya.

"Bukan jumpa satu tetapi beberapa tempat yang berisiko seperti itu (kawasan berpotensi dijadikan tempat pelupusan sisa).

"Macam kejadian di Sungai Kim-Kim, ada lapan lagi (kawasan pembuangan sisa toksik) dekat sana pada ketika itu. Menerusi teknologi ini, kita mampu kenal pasti beberapa ciri khusus kawasan yang sering dijadikan tempat pembuangan di sana pada masa itu," katanya kepada BH.

Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah.
Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah.

Azlikamil berkata, maklumat kawasan berpotensi pembuangan haram sisa toksik itu diperoleh melalui analisis cerapan imej satelit penderiaan jauh (remote sensing) yang mengambil maklumat permukaan bumi pada setiap hari.

Selain menjalankan cerapan imej satelit, agensi itu turut menggunakan dron khas untuk mengumpulkan data dan maklumat di kawasan sasaran.

Beliau turut mendedahkan kecenderungan aktiviti pelupusan sisa haram yang biasanya menyasarkan kawasan sekitar radius lima kilometer (km) dari kawasan punca atau sumber.

"Mereka ini bila nak buang sisa toksik bukan buang macam itu saja. Kilang selalunya akan upah orang dan antara kawasan yang paling mereka gemari ialah kawasan itu mesti ada akses dan jauh daripada orang.

"Maksudnya, mudah untuk masuk kerana mereka memandu lori dan bukannya basikal. Kedua, mereka akan buang (sisa toksik) dalam keadaan pantas seperti hit and run (langgar dan lari).

"Ketiganya, mereka akan cari kawasan di mana sisa toksik boleh dicampurkan atau ditimbunkan dengan sampah biasa atau sampah domestik bagi mengaburi orang ramai seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim duhulu," katanya.

Beliau berkata, sebaik berakhir insiden Sungai Kim Kim, MYSA meneruskan usaha membangunkan pangkalan data berkaitan potensi kawasan berisiko yang dijadikan kawasan pelupusan sisa toksik di seluruh negara.

Beliau berkata, sistem dan pangkalan data geospatial berasaskan teknologi remote sensing angkasa itu boleh dimanfaatkan oleh pihak berkuasa dalam membendung perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab melupuskan sisa industri secara haram.

"Ia juga membantu mengesan lebih awal kawasan yang berpotensi dijadikan kawasan pelupusan sisa dan ini memudahkan perancangan pihak penguat kuasa.

"Hasil analisis yang kami buat membabitkan seluruh negara sudah dikongsikan kepada negeri masing-masing. Selangor, Johor, Pahang dan Perak antara yang menunjukkan jumlah potensi kawasan yang lebih ketara berbanding negeri lain," katanya.

Contoh kawasan pelupusan sisa yang dikesan di Johor sekitar tahun 2019, hasil cerapan satelit dilakukan pihak Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Contoh kawasan pelupusan sisa yang dikesan di Johor sekitar 
tahun 2019, hasil cerapan satelit dilakukan pihak Agensi 
Angkasa Malaysia (MYSA).

Pada 7 Mac 2019 negara dikejutkan dengan kejadian pencemaran Sungai Kim Kim, yang menjejaskan kehidupan lebih 6,000 penduduk berhampiran sungai berkenaan, termasuk puluhan pelajar sekolah mengalami sesak nafas, loya, pening dan pitam.

Pembuangan sisa toksik itu turut mengeluarkan asap toksik sehinggakan 111 sekolah di kawasan berkenaan diarah tutup sementara ketika itu.

Operasi pembersihan dilakukan di sepanjang 1.5 km sungai dengan sejumlah 900 tan tanah dan 1,500 tan air tercemar dibersihkan.

Bagaimanapun, pencemaran di Sungai Kim Kim terus berulang. Pada 8 Mac lalu, BH melaporkan Sungai Kim Kim kembali 'dinoda', kali ini dengan tompokan minyak berbau busuk dan terbaharu, sungai itu tercemar lagi, dipercayai berpunca daripada loji kumbahan najis.

Mengulas lanjut, Azlikamil berkata, penggunaan teknologi seperti dron taktikal membolehkan gerak-geri pihak pencemar terbabit mudah dibaca dan dijejaki.

Beliau juga berkata, pembangunan sistem penentuan lokasi pelupusan sisa berteraskan teknologi remote sensing angkasa membuka inisiatif baharu dalam mengurus bencana berkaitan alam sekitar, memperkukuhkan aspek pencegahan dan pemantauan.

Katanya, penggunaan teknologi itu dapat menjimatkan kos perancangan pemantauan dan penguatkuasaan, selain mempertingkatkan lagi kecekapan operasi.

"Misalnya, keadaan cuaca buruk dan tidak menentu pada ketika ini bukan sahaja mengundang bencana seperti banjir, malah mendedahkan rakyat kepada risiko bencana pencemaran alam sekitar akibat pelupusan sisa oleh pihak yang mengambil kesempatan sekiranya tidak dipantau," katanya.

Selangor, Johor, Pahang dan Perak dikenal pasti antara negeri yang mempunyai banyak kawasan dijadikan tempat pembuangan sisa toksik secara haram. - Foto hiasan
Selangor, Johor, Pahang dan Perak dikenal pasti antara negeri 
yang mempunyai banyak kawasan dijadikan tempat pembuangan 
sisa toksik secara haram. - Foto hiasan

Tiada ulasan: