Selasa, 26 Oktober 2021

‘Pak belang’ muncul di Paka, 80 pekebun, penternak resah

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
KESAN tapak kaki harimau yang sempat dirakam di Kampung Tebing Tembah, Paka di Dungun, Terengganu, baru-baru ini.

DUNGUN: Kira-kira 80 pekebun dan penternak di Kampung Tebing Tembah, Paka di sini resah dengan kemunculan harimau belang sejak tiga bulan lalu.  

Haiwan liar itu didakwa melintas di kawasan belukar berdekatan kebun sekali gus menyebabkan rata-rata mereka kini terpaksa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan. 

Seorang penduduk, Darani Salleh, 58, berkata, kejadian terserempak dengan pak belang dialami rakannya ketika dalam perjalanan pulang dari kebun, kelmarin. 

“Tinggi harimau itu dikatakan separas pinggang dan kawan saya yang terkejut segera memecut motosikalnya manakala pak belang terus lari ke belukar berhampiran. 

Selepas kemunculan pak belang, saya terpaksa melarang isteri dan anak ke kebun kerana bimbang keselamatan mereka jika harimau melintas lagi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. 

Bagi pekebun sayur, Faiz Ikhbal Entjet, 27, berkata, mereka sekeluarga pernah terdengar bunyi ngauman harimau beberapa minggu lalu ketika di kebun. 

Katanya, sebelum ini hanya beruang yang menjadi ancaman di kebunnya. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, berdasarkan siasatan pihaknya menemukan beberapa kesan tapak kaki harimau.

“Kita percaya harimau berkenaan keluar dari Hutan Simpan Bukit Bauk yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan pertanian dan ternakan penduduk. 

“Setakat ini, harimau berkenaan tidak mengancam atau mengganggu ternakan penduduk dan kita percaya ia akan kembali ke habitat asal, namun pemantauan sentiasa dibuat di kawasan itu demi menjaga keselamatan penduduk,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: