Selasa, 19 Oktober 2021

Lelaki parah dalam kemalangan libat tiga kenderaan

WhatsApp-Image-2021-10-19-at-11
Keadaan motosikal dan kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur - Ipoh dekat Hulu Selangor semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Lumpur – Ipoh berhampiran Ladang Guru Nanak, Hulu Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, dalam kejadian sekitar puku 8.45 malam itu melibatkan seorang lelaki berusia 20 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dan kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun.

“Kemalangan berlaku ketika pemandu Proton Saga dari arah Rasa menuju ke tempat kerja di Serendah. Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal.

“Manakala sebuah lori tanker dari arah Serendah pula telah melanggar serpihan motosikal yang berada di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Arsad, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki manakala pemandu kereta hanya cedera di muka.

Katanya lagi, mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai apa-apa maklumat mengenai kemalangan tersebut boleh menyalurkannya kepada polis supaya tindakan selanjutnya dapat diambil,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: