KUALA LUMPUR – Perincian pengurangan daripada 181 Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada hanya satu SOP Am dan sembilan garis panduan telah siap.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia akan diumumkan selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membentangkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, sekali gus dipersetujui.
“Ini penting dalam kita membuat kelonggaran SOP ianya mesti dipatuhi rakyat dan usaha kita adalah mudahkan rakyat memahami SOP sedia ada dengan harapan mereka lebih patuh terhadap apa yang ditetapkan juga supaya kelonggaran yang kita umumkan tidak jejaskan rancangan kita yang lengkap iaitu beralih kepada fasa endemik,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Katanya, SOP Am yang akan dikuatkuasakan kelak diletakkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), berkaitan dengan pengawalan penularan Covid-19.
Sembilan garis panduan pula merangkumi aktiviti-aktiviti dalam pelbagai sektor yang perlu diamalkan rakyat dalam fasa menuju endemik, ujarnya.
“SOP Am berkenaan ialah berkaitan langkah-langkah tetap untuk mengawal penularan seperti memakai pelitup muka, panduan pengudaraan, check in MySejahtera, syarat lengkap vaksin dan lain-lain.
“Manakala 9 garis panduan tersebut pula merangkumi aktiviti-aktiviti dalam pelbagai sektor. Garis panduan ini tidak boleh dikuatkuasakan tetapi menjadi tanggungjawab rakyat untuk memahami dan mengamalkannya dengan sebaik mungkin.
Terdahulu, Hishammuddin berkata, kerajaan berusaha mengurangkan SOP bagi memudahkan rakyat mematuhinya dan mengelakkan berlaku kekeliruan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan