Isnin, 25 Oktober 2021

Ku Nan harap rakyat tak salah pilih kerajaan lagi


Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berharap seluruh ahli dan rakyat Malaysia mengambil keputusan bijak memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan tidak lupa peristiwa yang terjadi selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018.

Menurut Ahli Parlimen (MP) Putrajaya itu, selama lebih 60 tahun UMNO dan BN menjadi kerajaan, tiba-tiba bila tampuk pimpinan kerajaan bertukar kepada Pakatan Harapan (PH), negara tidak lagi stabil sehingga ke hari ini.

“Saya berharap ahli UMNO dan rakyat tidak lupa dengan PRU 14 lalu apabila kerajaan baharu (PH) menggantikan UMNO dan BN, yang natijahnya sehingga kini negara tidak stabil.

“Pihak pembangkang iaitu PH sebelum menang PRU 14 hanya menggunakan pemimpin tertentu sebagai boneka mereka untuk mendapatkan kuasa.

“Saya bukan beretorik. Renungkan selama lebih 60 tahun UMNO dan BN menerajui kerajaan, apa yang rakyat telah lalui dan bandingkan dengan apa yang berlaku lebih dari tiga tahun dalam kerajaan-kerajaan baharu yang mentadbir sebelum ini,” katanya dalam laporan MalaysiaGazette. 

Sehubungan itu, Tengku Adnan yang juga Bendahari UMNO berkata, sepanjang tempoh tiga tahun ini, rakyat mengeluh kerana ketidakstabilan politik.

Katanya, dalam tempoh itu sehingga kini, sekurang-kurangnya tiga perdana menteri iaitu dari PH, Perikatan Nasional (PN) dan sekarang BN bersama gabungan sedia ada.

Ujar Tengku Adnan atau mesra disapa Ku Nan itu lagi, sejak sebelum PRU 14, kepimpinan UMNO sudah mengingatkan rakyat dan ahlinya berhati-hati kerana pembangkang ketika itu akan cuba sedaya upaya menggunakan tipu helah dan fitnah untuk memburukkan parti keramat orang Melayu.

“Cukuplah 22 bulan PH mentadbir, pelbagai permasalahan berlaku, namun mujurlah mereka (memerintah) tidak lama. Demikian juga dengan kerajaan sementara yang kini telah berganti, kestabilannya juga belum ada.

“Kerana itu, saya rayu ahli akar umbi, tolong ingat kembali apa yang berlaku dalam pilihan raya lalu. Kesannya sehingga sekarang ramai hilang kerja yang berpunca daripada kesilapan memilih kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: