Isnin, 25 Oktober 2021

46 kematian akibat Covid-19 semalam, 59,129 kuarantin di rumah


Jumlah pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19 sejak awal tahun lalu hingga semalam kini mencecah 28,400 kes, termasuk 5,740 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau ‘brought in death’.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dalam tempoh 24 jam semalam seramai 46 pesakit meninggal dunia, termasuk 12 kes BID, meningkat sedikit berbanding 42 kes kematian yang dilaporkan pada Sabtu.

Daripada jumlah kematian hari ini dua negeri merekodkan angka tertinggi iaitu masing-masing lapan kes di Kedah dan Sarawak; Perak (enam); Johor (lima); masing-masing empat di Sabah, Selangor dan Terengganu; Pulau Pinang (tiga); dan masing-masing dua di Kelantan dan Negeri Sembilan,

Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Pahang, Perlis, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

KKM juga memaklumkan sehingga semalam jumlah kes aktif turun kepada 75,947 kes, berbanding 77,305 yang direkodkan pada Sabtu.

Daripada jumlah kes aktif itu, 77.9 peratus atau 59,129 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 10,274 atau 13.5 peratus dirawat di PKRC, 5,941 7.8 peratus pesakit dirawat di hospital, dan 603 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, dengan 300 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hanya Selangor sahaja negeri yang masih mencatat kes aktif lima angka iaitu membabitkan 14,594 kes.

Negeri itu juga merekodkan jumlah kes terkumpul tertinggi sehingga semalam membabitkan 705,073 kes positif, 682,323 pesakit sembuh, dan 9,568 pesakit meninggal dunia.

Tiada ulasan: