Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau bersetuju untuk meningkatkan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan seperti yang pernah dilaksanakan ketika Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut Khairy, beliau telah pun meminta penguatkuasaan terhadap larangan merokok ditingkatkan lagi selain memantau prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di premis makanan.
“Setuju. Ini dasar yang bagus dari zaman @DrDzul (Dzulkefly).
“Semalam saya telah minta penguatkuasaan terhadap larangan merokok ini ditingkatkan lagi.
“Sambil memantau pematuhan SOP pandemik, boleh denda perokok yang langgar larangan tersebut. Sekali harung,” katanya dalam ciapan akaun Twitternya hari ini.
Khairy berkata demikian sebagai maklum balas kepada ciapan seorang pemilik akuan Twitter yang mahukan menteri kesihatan itu menguatkuasakan kembali larangan tersebut.
Pemilik akaun Twitter Hafidz DZ meminta Khairy mempertingkatkan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan kerana tidak selesa dengan segelintir perokok yang didakwa tidak endah dengan larangan sedia ada.
“Mohon @Khairykj sebagai menteri kesihatan, kembali tingkatkan pematuhan larangan merokok di kedai makan. Makin ramai pula hisap rokok dalam kedai macam larangan dah dihapuskan,” ciapnya.
Gesaan Hafidz turut itu juga turut disokong oleh salah seorang lagi pengguna laman sosial itu meskipun dia merupakan seorang perokok.
“Setuju. Saya adalah seorang perokok dan saya sokong usaha ini. Saya pun tak suka bila orang merokok di kedai makan,” ciapnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan