Nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh antara yang disebut-sebut bakal menjadi Ketua Menteri Melaka yang baharu jika berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November nanti.
Sumber Agenda Daily mendedahkan Rauf yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) itu berkemungkinan akan diletak UMNO sebagai pengganti Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang hilang majoriti dan tersingkir sebagai KM baru-baru ini.
Selain itu, Rauf yang dikenali sebagai orang kuat Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah pastinya akan menjadi pilihan utama untuk diletak sebagai calon KM baharu.
“Nama Rauf antara yang dikatakan akan menjadi calon Ketua Menteri baharu sekiranya UMNO memenangi PRN Melaka, selain itu semua orang di Melaka tahu hubungan istimewanya yang rapat dengan Presiden sudah pasti jawatan tersebut akan diberikan kepadanya.
“Tidak ditolak juga berkemungkinan Sulaiman akan dilantik semula sebagai KM baharu, namun kelemahan pentadbirannya sehingga kehilangan majoriti akibat tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mungkin mengakibatkan namanya tidak tercalon juga,” kata sumber itu.
Rauf menjadi watak utama dalam krisis politik Melaka apabila bertindak membubarkan sidang DUN sehingga memberi laluan kepada PRN terpaksa diadakan.
Dalam pada itu, Rauf juga didakwa menjadi punca utama kepada tindakan penarikan sokongan empat ADUN diketuai Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) yang tidak berpuas hati kerana dikatakan mengawal Sulaiman.
Sulaiman didakwa mengikut telunjuk Rauf disamping lemah dalam menguruskan pentadbiran kerajaan negeri, menurut Idris.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengumumkan PRN Melaka akan diadakan dengan penamaan calon akan dilakukan 8 November, manakala pengundian awal ditetapkan 16 November dan hari mengundi pada 20 November.
Kerajaan Melaka pimpinan UMNO dibawah Sulaiman selepas tindakan empat bekas ADUN yang terdiri daripada dua wakil UMNO, satu Bersatu dan satu Bebas menarik sokongan terhadapnya sehingga hilang majoriti.
Tiga bekas ADUN tersebut adalah Datuk Nor Azman Hassan(Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan