KUALA LUMPUR: Kakitangan khidmat sokongan termasuk kerani dan pekerja am akan diminta melakukan ujian air liur untuk saringan kendiri COVID-19 secara berkala sepanjang sesi persekolahan bersemuka berjalan.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, usaha itu bagi mengawal penularan dalam kalangan kakitangan dan pekerja berkenaan, selain melindungi pelajar serta warga sekolah.
"Kita akan memastikan pekerja khidmat sokongan termasuk kerani ini supaya melengkapkan vaksinasi mereka dan melakukan secara berkala ujian kendiri demi keselamatan anak-anak di sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Ir Khairil Nizam Khirudin pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini membenarkan pembukaan sekolah bagi murid tahap satu di negeri dan daerah mencapai Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), dengan Langkawi, Labuan serta Negeri Sembilan sudah pun memulakan sesi persekolahan mereka sejak Ahad dan Isnin lalu.
Serentak itu, KPM akan membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 kepada sekolah berasrama dan sekolah harian di bawah kementerian itu bagi pengoperasian sekolah secara berperingkat mengikut fasa dalam PPN.
Sementara itu, bagi guru yang masih enggan divaksin tanpa alasan munasabah, Mohamad berkata, tiada lagi alasan boleh diberi guru berkenaan memandangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling mengarahkan penjawat awam termasuk guru mengambil vaksin.
"Kita sudah arahkan, minta supaya mereka ambil vaksin secara keseluruhannya mengikut pekeliling JPA yang dikeluarkan pada 30 September lalu berhubung syarat vaksinasi lengkap. Dalam arahan itu cukup jelas, mereka kena taat dan ikut," katanya.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk A Kesavadas pula, Mohamad berkata, KPM merangka persiapan menghadapi situasi luar jangka terutama jika berlaku penularan mendadak COVID-19 di sekolah.
"Kita sudah merangka persiapan dan bersedia menghadapi jika berlaku kenaikan kes pada waktu persekolahan. Sudah pasti kita amat bimbang dengan situasi ini, namun jaminan kita kepada pelajar yang akan hadapi peperiksaan, kita akan pastikan mereka dapat akses pembelajaran sewajarnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan