Khamis, 7 Oktober 2021

Kerajaan tidak buka pintu sempadan negara sewenang-wenangnya, kata PM

BERNAMA

Ismail berkata buat masa ini kerajaan meletakkan syarat hanya mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke negara ini.

Kerajaan tidak akan membuka pintu sempadan negara sewenang-wenangnya, sebaliknya kebenaran kemasukan pengembara bukan warganegara bergantung kepada maklumat situasi Covid-19 dari negara asal mereka, kata Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata buat masa ini kerajaan meletakkan syarat mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke negara ini, namun sempadan belum dibuka kepada pelancong.

“Kalau kita lihat dari segi sejarahnya walaupun kita buka pintu negara kita kepada warganegara asing untuk masuk tetapi perkembangan di negara asal pengembara itu juga diambil kira.

“Setiap tindakan kerajaan kita dapat pandangan dan cadangan kementerian kesihatan (KKM) yang buat penilaian risiko, kita tidak buka (sempadan) sewenang-wenangnya,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Ismail menjawab soalan tambahan Senator Razali Idris sama ada kerajaan mempunyai pelan krisis pengurusan Covid-19 nasional sekiranya pintu sempadan dibuka, akan berlaku lonjakan kes dan penularan varian baharu seperti yang berlaku di negara lain.

Tiada ulasan: