Sabtu, 23 Oktober 2021

Johor, Terengganu beralih ke Fasa Empat PPN

Siti Hafidah

Peralihan ambil kira penilaian risiko semasa

KUALA LUMPUR – Negeri Johor dan Terengganu beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 25 Oktober (Isnin), menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, peralihan tersebut mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 adalah sama dengan sebelum ini.

“Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini juga telah bersetuju kemudahan vaksinasi lengkap untuk golongan dewasa, turut diperluas kepada golongan remaja yang telah divaksin lengkap.

“Ini bermakna syarat vaksinasi lengkap bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun, akan dinyatakan dalam semua SOP,” katanya.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, ia tidak akan dilaksanakan serta merta, sebaliknya pihak kerajaan akan menyelaraskan kemudahan-kemudahan berkaitan.

“Ia juga memberi golongan remaja ‘grace period’ selama tiga minggu atau sehingga pertengahan bulan November.

“Tempoh ini adalah bagi memastikan kira-kira 80 peratus remaja yang telah menerima dos pertama ketika ini, selesai divaksin lengkap,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan menyeru rakyat memanfaatkan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

Tegasnya, kejayaan membawa negara keluar daripada pandemik ini, tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan semata-mata.

Sebaliknya beliau berkata, ia juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang telah ditetapkan.

“Justeru, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya. – Bernama

 

Tiada ulasan: