Khamis, 14 Oktober 2021

Had jemaah solat Jumaat di Johor ikut kapasiti ruang masjid dan surau mulai 15 Okt

MGF14052021__SOLAT-JUMAAT-PKP-3
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Johor yang kini berada dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter, berkuat kuasa Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi, Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin, hari ini.

Menurut kenyataan itu, solat fardhu lima waktu dan solat jenazah pula adalah mengikut kapasiti satu pertiga ruangan solat masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter.

Kenyataan itu memaklumkan, hanya jemaah, pegawai serta ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau yang telah lengkap menerima suntikan vaksin sahaja dibenarkan ke masjid dan surau.

“Pengecualian vaksin hanya kepada mereka yang mempunyai perakuan bertulis daripada Pejabat Kesihatan Daerah.

“Bagi jemaah lelaki dan wanita yang hadir ke masjid dan surau, mereka harus menunjukkan sijil vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi kepada petugas masjid dan surau,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, JAINJ dan pihak polis serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga akan melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dan sekiranya terdapat mana-mana masjid atau surau yang dikesan melanggar SOP, ia akan ditutup. – Bernama

Tiada ulasan: