PENERIMA vaksin lengkap Sinovac berusia 60 tahun ke atas di seluruh negara akan diberikan dos penggalak vaksin Comirnaty secara heterologous bermula 22 Oktober ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dos penggalak itu diberikan secara berperingkat kepada individu yang telah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan lalu.
Menurutnya, sebagai permulaan pemberian dos penggalak secara heterologous itu diberikan kepada individu berumur 60 tahun dan ke atas berdasarkan saranan Strategic Advisory Group of Expert (SAGE) on Immunization daripada Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO).
“Pemberian dos penggalak secara heterologous ini adalah secara penggunaan ‘off label’ dan dijadikan sebagai cabang kajian dalam kajian The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination (RECoVaM) dan kajian kesan advers serius selepas vaksinasi (SAFECOVAC) iaitu bagi semua penerima dos penggalak.
“Pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Objektif pemberian dos penggalak ialah untuk memastikan tempoh perlindungan yang optima diperolehi oleh penerima vaksin Covid-19 di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Khairy berkata, pemberian dos penggalak itu akan diterajui oleh pengamal perubataan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
Katanya, individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.
“Kaedah temujanji pemberian dos penggalak akan ditambah baik dari masa ke semasa dan tidak lama lagi penerima vaksin boleh membuat temujanji melalui sistem yang sedang dibangunkan oleh KKM,” katanya.
Pelaksanaan pemberian dos penggalak di seluruh negara dimulakan pada 13 Oktober lalu dengan menggunakan vaksin Comirnaty terhadap warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu komorbid.
Setakat 19 Oktober, seramai 47,728 individu telah menerima dos penggalak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan