PETALING JAYA: Seorang anggota polis maut dilanggar sebuah bas selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terbabas dan terjatuh di laluan bertentangan, di Kilometer 16, Jalan Bentong-Raub, di sini semalam.
Kejadian berlaku pada 12.30 tengah hari itu menyebabkan Arisham Azahari, 37, yang bertugas di Balai Polis Dong, Raub disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Bentong.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan yang sesak dan melanggar sebuah motosikal lain di hadapan.
“Mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah bas,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan