Isnin, 4 Oktober 2021

4 Adun tarik sokongan, kerajaan Melaka tumbang

MALAYSIA POST

4 Adun tarik sokongan, kerajaan Melaka tumbang

TEKI-teki pergolakan kerajaan Melaka terjawab apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi wakil rakyat kerajaan mengumumkan menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menyerahkan surat menarik sokongan dan ketidakpercayaan kepada Pejabat Ketua Menteri Melaka.

“Saya, Idris Harun (Adun Sungai Udang) bersama rakan-rakan saya Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Adun Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri dan seluruh barisan kepimpinan kerajaan Melaka hari ini.

“Kami berempat telah menyerahkan surat ketidakpercayaan kami dan menarik balik sokongan terhadap YB Datuk Seri Sulaiman.

“Kami akan mencari jalan untuk memberi peluang kepada kerajaan negeri ini ditubuhkan bagi meneruskan perjalanan pentadbiran negeri di masa akan datang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ketika ditanya adakah beliau akan bersama Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk pentadbiran baharu, katanya, perkara itu perlu ditanya kepada PH sendiri sama ada mereka bersedia atau sebaliknya.

“Namun dengan semangat yang kami ada, kami akan memberi peluang negeri ini mendapat satu daya kepimpinan dan pengurusan yang lebih berkesan dan cekap.

“Saya yakin dan percaya ada jalan bagi kami untuk menentukan (kerajaan),” katanya.

Kedudukan terbaharu itu bermakna Sulaiman hanya mempunyai 13 kerusi di DUN Melaka berbanding PH yang memiliki 11 kerusi.

DUN Melaka mempunyai keseluruhan 28 kerusi.

Ini juga bermakna Sulaiman tidak lagi mempunyai majoriti mudah di DUN. – Malaysiapost

Tiada ulasan: