Friday, December 25, 2020

Tiada isu daging diragui status di Melaka

Amir Mamat

DAGING sejuk beku.

Melaka: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka tidak menerima aduan berhubung isu penyeludupan daging diragui status halal ke negeri itu.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wira Ismail Othman berkata, tiada kes penyeludupan daging itu yang didakwa dikuasai kartel direkodkan setakat hari ini.

"KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan secara menyeluruh bagi menangani isu penyeludupan daging itu.

"Sebab itu saya minta pengguna supaya mengutamakan barangan tempatan berbanding barang import," katanya selepas melakukan tinjauan mesra Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Muhammad Aizudin Mohd Said.

Beliau berkata, pemantauan secara berterusan akan dilaksanakan di semua pasar raya, pasar mini serta pasar basah di negeri ini, termasuk pasar besar Melaka Tengah, Jasin, Alor Gajah dan Pasar Borong di Batu Berendam.

"Semua laporan saya terima setiap hari dan saya memberi jaminan harga barangan terkawal dan bekalan mencukupi.

"Setakat ini tiada kompaun dikenakan terhadap mana-mana premis yang cuba menaikkan harga barangan terkawal pada musim perayaan," katanya.

No comments: