Saturday, December 26, 2020

Syor senarai hitamkan pekebun haram Musang King

HARAKAH DAILY

TEMERLOH: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan terhadap isu pekebun durian Musang King Raub telah mengesahkan bahawa perbuatan mereka tersebut selama berpuluh tahun adalah satu pencerobohan.

Pun begitu, telah ada bayangan bahawa mereka yang terbabit mahu membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan dan ketika sama dilaporkan mewujudkan koperasi bagi pelbagai tujuan perniagaan dan peruntukan berkaitan.

Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor bagaimanapun berkata, tindakan para pekebun haram itu untuk terus memanjangkan kes di mahkamah dan ketika sama mendaftar koperasi dilihat mempunyai muslihat.

Katanya, sebagai penceroboh bermakna kumpulan pekebun tersebut selama ini tidak mempunyai kedudukan yang sah dan melakukan aktiviti secara salah di sisi undang-undang di mana patut berasa malu dan kesal.

“Tapi nampaknya mereka seperti langsung tidak merasa bersalah atau insaf. Sedangkan seperti disebut hakim, mereka itu tiada ‘locus standi’, pun begitu terus menggerakkan tindakan. Mereka memilih untuk mencabar daripada mematuhi undang-undang.

“Ini sangat menimbulkan persoalan ‘Siapa sebenarnya mereka ini?’. Mereka seperti mahu membuang peraturan sedia ada atau berada di satu kedudukan lebih istimewa dari undang-undang? Ini mustahil dan melampau.

“Saya kira mereka ini perlu difahamkan mengenai undang-undang. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan mungkin wujud tangan politik yang mendorong tindakan mereka dari belakang,” ulasnya.

Tambah beliau, dalam isu ini para pekebun terbabit telah meraih keuntungan besar dan menyebabkan kerugian kepada pihak kerajaan atas premium yang menjadi hasil negeri tetapi tidak dapat dikutip.

Oleh itu tegas beliau, sepatutnya mereka bukan sahaja diminta menghentikan dan keluar dari tanah diceroboh, malah setiap orang dari mereka dikenakan denda atau dituntut suatu pampasan munasabah atas hasil besar diraih dari penanaman haram dilakukan.

Katanya lagi, atas gerakan ke hadapan kumpulan tersebut yang seperti mahu terus mencabar serta cuba mencapai sesuatu dengan menubuhkan koperasi, beliau mencadangkan agar penama terbabit disenaraihitamkan.

“Mereka bukan sahaja tidak harus diberikan sebarang keistimewaan, tetapi juga sebarang hak sepertimana pemohon tanah yang lain. Kerana mereka telah mengambil sesuatu yang bukan hak selama ini.

“Kemudian apabila diminta patuh kepada peraturan yang ada, mereka mencabar. Bila ada keputusan penghakiman, mereka masih mahu terus mencabar lagi. Ini bukan menuntut peradilan hak, tetapi menentang.

“Jadi, jika mereka tetap terus berdegil sedemikian, senarai hitamkan sahaja mereka ini dalam kelayakan setara dengan orang lain yang akur menjalankan sesuatu secara sah dan tertib peraturannya,” ujarnya.

Beliau yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia turut merakamkan tahniah atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan itu di mana disifatkannya sebagai berani dan memenuhi tuntutan undang-undang.

Salamiah juga berharap Kerajaan Pahang berterusan untuk menguatkuasakan undang-undang dan menangani pencerobohan tanah dan penanaman haram serta aktiviti tidak sah di seluruh negeri itu sepanjang masa.

“Siasatan mesti diadakan terhadap tanah-tanah lain dalam negeri ini yang mungkin ada pencerobohan. Bukan hanya Musang King, mungkin pada tanaman seperti kelapa sawit dan sebagainya. Tanah negeri ini tidak harus digunakan sewenang-wenangnya tanpa memenuhi peraturan ditetapkan,” ujarnya.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam pada itu berkata, kerajaan negeri akan memulakan operasi penguatkuasaan berhubung isu itu dalam masa terdekat mengikut lunas undang-undang.

Jelas beliau, tindakan itu kini boleh dilaksanakan selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 204 pekebun terlibat untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis pengosongan tanah terbabit, semalam.

“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan keputusan mahkamah hari ini dan insya-Allah, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan kepada mereka yang meneroka tanah secara haram. 

“Kita sudah memberikan masa selama hampir setahun, yang mana saya kira ia sudah mencukupi untuk mereka sebelum tindakan diambil,” katanya dilapor Bernama, semalam.

Wan Rosdy berkata operasi penguatkuasaan itu dibuat untuk kepentingan alam sekitar, seperti yang dilakukan di dua lokasi di Cameron Highlands, iaitu Sungai Ichat dan Lembah Bertam.

Ketegasan kerajaan negeri dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Ichat, menurut Wan Rosdy walaupun mendapat tentangan segelintir pihak, akhirnya membuahkan hasil apabila sungai yang tercemar teruk kembali ke Kelas 1 dan selamat diminum. 

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh 204 pekebun tersebut.

Keputusan itu menyatakan, mereka tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan berkenaan ekoran kedudukan mereka sebagai penceroboh di tanah yang diteroka. 

Selain itu, Zainal Azman juga memutuskan bahawa notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah terlibat bukan satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah. 

Dalam kes ini, semua 204 pekebun itu memfailkan permohonan berkenaan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang dan pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang.

Juga Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden. – HARAKAHDAILY

No comments: