Thursday, December 24, 2020

Jagalah akhlak, hindari jenayah seks, rayu menteri agama kepada selebriti ‘dakwah’

SEPANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad, merayu selebriti ‘dakwah’ supaya menjaga akhlak bagi mengelak kontroversi seperti yang membabitkan seorang peserta program agama TV yang menghadapi pelbagai tuduhan jenayah seks.

Dalam pertemuan di sebuah hotel di Sepang petang tadi, Zulkifli mengingatkan selebriti ‘dakwah’ bahawa persepsi buruk cepat tersebar bila mana isu moral babit agamawan dan pendakwah.

“Tolonglah jaga, termasuk diri saya. Saya tak mahu dengar pencabulan,” katanya di pertemuan yang dihadiri lebih kurang 100 selebriti dakwah, termasuk bekas peserta program TV Pencetus Ummah, Da’i, dan Imam Muda.

“Kalau ustaz (terlibat isu moral) dengan gambar-gambar sekali (tersebar). Kalau ustaz terlibat, (dalam) dua minit kita tahu siapa (pelakunya).”

Zulkifli secara terbuka menyatakan beliau menyokong usaha dakwah, namun memberi amaran tingkah laku mereka boleh mengubah persepsi orang ramai terhadap Islam dan golongan pendakwah.

“Saya nak cakap kepada semua, walaupun saya menteri tapi saya seorang menteri yang menyokong anda semua, semoga tuan-tuan diberi kekuatan.”

“Kita harap 2021 tidak akan kita dengar lagi sebarang isu.”

Semalam, Zulkifli memberitahu pemberita pertemuan ini diadakan bagi menyampaikan “mesej” kerajaan, susulan seorang selebriti ‘dakwah’, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau Da’i Syed, didakwa di mahkamah atas tuduhan seks luar tabii dan merogol melibatkan beberapa mangsa.

Menurut polis, pendakwah berusia 25 tahun itu digambarkan sebagai berperwatakan baik, boleh menenangkan mangsa, selain menggunakan imejnya sebagai pendakwah bagi menyakinkan mangsa mendekatinya.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Mahmood Zuhdi Abd Majid, ketika dihubungi FMT berkata program realiti TV untuk mencungkil selebriti ‘dakwah’ perlu dikaji keberkesanannya, menegaskan program sedemikian boleh membawa kesan sampingan yang boleh mecemarkan gerakan dakwah.

“Mereka (selebriti) ini bukan agamawan, malah bukan ustaz. Mereka belum cukup akademik dan tidak cukup ilmu (untuk dilabel agamawan atau ustaz). Bila ada ilmu tentang agama barulah mereka boleh menjadi pendakwah yang baik,” katanya.

Senada dengan gesaan Mahmood, Zulkifli hari ini menyarankan setiap program realiti TV berasaskan dakwah dikaji secara mendalam.

Beliau merasakan perlu ada suatu prasyarat, seperti memiliki latar belakang pengajian Islam dan tauliah pihak berkuasa.

“Ini bagi memelihara kualiti pendakwah yang lahir daripada program tersebut,”.

Antara nama-nama popular yang kelihatan pada pertemuan hari ini ialah Mohammad Kazim Elias, Fadzilah Kamsah, Don Daniyal, Sharifah Hayaati Syed Ismail, dan Asma Harun.

No comments: