KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan 13,074 Operasi Sanitasi Awam merangkumi 137 zon di seluruh negara sejak 30 Mac lalu hingga semalam.
Proses sanitasi membabitkan 14,726 premis terdiri 2,938 pusat perniagaan, 1,694 kawasan perumahan termasuk projek perumahan rakyat (PPR), 2,944 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,793 bangunan kerajaan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementerian itu melaksanakan 19 lagi operasi sanitasi di beberapa negeri di Semenanjung serta Sarawak, semalam.
"Operasi sanitasi dijalankan semalam meliputi tujuh Zon Merah, dua Zon Jingga, lima Zon Kuning dan dua Zon Hijau membabitkan sembilan negeri.
"Sebanyak empat operasi dilaksanakan di Melaka, masing-masing dua di Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Perak serta satu di Selangor," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, katanya seramai 93,070 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa ditempatkan di 75 pusat kuarantin di seluruh negara untuk menjalani proses kuarantin wajib.
"Seramai 7,125 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 536 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.
"Seramai 85,409 individu lagi sudah dibenarkan pulang," katanya memaklumkan semua yang menjalani kuarantin wajib itu pulang daripada 36 negara.
No comments:
Post a Comment