Tuesday, April 21, 2020

MP Batu ditahan ingkar PKP?

siti hafidah 

 

Prabakaran dibawa ke IPD Sentul untuk disoal siasat

BANGI – Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran hari ini ditahan polis atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut rakaman suara ringkas yang dikongsi salah seorang pegawai wakil rakyat PKR itu mendakwa, Prabakaran ditahan ketika berada di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang yang kini diisytihar sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) keenam di negara ini.

Memetik laporan Malaysia Gazette, Prabakaran dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk tujuan disoal siasat.

Terdahulu wakil rakyat itu dilihat melawat ke kawasan PKPD itu yang ditutup dengan kawat duri tentera sejak awal pagi tadi.

“Hari ini saya sebagai Ahli Parlimen Batu, satu berita tergempar penduduk mula panggil saya sejak 5 pagi dan maklumkan bahawa PKPD tentera telah ambil alih memasang kawat duri di kawasan Selayang.

“Jadi, saya datang pantau dan saya juga telah berbincang dengn Ketua Polis Daerah Sentul mengenai pelaksanaan Prosedur Operasi Standard PKPD dan semua berjalan lancar,” katanya.

Kerajaan telah mewartakan pelaksanaan PKPD ke atas Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Tindakan itu dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan pelaksanaannya akan bermula hari ini sehingga 3 Mei 2020.

Untuk rekod, ia merupakan PKPD keenam selepas PKPD Hulu Langat, PKPD Simpang Renggam, PKPD Menara City One dan PKPD Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion dan PKPD Masjid India.


No comments: