Tuesday, April 21, 2020

Jual beli secara terbuka dalam tempoh PKP haram

ainulillia

 

Patuhi arahan kerajaan agar urus niaga diberkati

BANGI – Jabatan Mufti Negeri Perak menegaskan, hukum menjalankan perniagaan yang tidak dibenarkan oleh kerajaan, secara terbuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah haram.

Menurut jabatan itu, walaupun hukum berniaga asalnya harus, tindakan pemerintah melarang menjalankan perniagaan tertentu sewaktu penularan wabak COVID-19 adalah betul dan selaras dengan prinsip syarak.

“Peniaga yang menjalankan perniagaan secara terbuka semasa PKP ini bererti ia telah melanggar perintah larangan berniaga yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang bertindak mewakili ulil amri. 

“Perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa meskipun pada asalnya hukum berniaga adalah harus. Larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah bertujuan menolak kemudaratan dengan mengekang penularan COVID-19 dengan kawalan pergerakan terhad,” katanya.

Perkara tersebut dinyatakan dalam satu artikel yang dimuat naik di Facebook jabatan itu dengan tajuk ‘Hukum Jual Beli Secara Terbuka Yang Menyalahi Perintah PKP’.

Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Perak mengajak orang ramai mematuhi semua arahan pihak berkuasa agar urus niaga diberkati dan seterusnya dihindarkan daripada wabak tersebut.

Mengulas lanjut katanya, meskipun perbuatan jual beli itu haram, namun status hukum transaksi tersebut adalah sah selagi memenuhi semua rukun dan syarat jual beli.

Jelasnya lagi, sekiranya rukun atau syaratnya tidak dipenuhi, maka jual beli itu dikira tidak sah sebagai contohnya jual beli arak atau bangkai selain perniagaan mempunyai unsur riba.

Artikel itu menyebut, hukum haram tetapi sah berjual beli dalam tempoh PKP itu berdasarkan hukum yang diqiyaskan kepada hukum haram menjalankan perniagaan selepas azan kedua pada hari Jumaat sehinggalah selesai solat Jumaat.


No comments: