Tuesday, April 21, 2020

COVID-19: Jumlah kes mungkin meningkat 2 minggu akan datang

siti hafidah

 

Dr Noor Hisham mohon rakyat sama-sama putuskan rantaian jangkitan

BANGI – Jumlah kes baharu COVID-19 mungkin meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelas beliau, ia berikutan aktiviti pengesanan kes masih giat dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini.

“KKM masih giat melakukan pengesanan kes terutamanya ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya seperti dilapor media tempatan.

Dr Noor Hisham memaklumkan jumlah terkini kes positif COVID-19 di negara ini menurun kepada 36 kes pada Isnin, di mana ia merupakan bilangan kes harian paling rendah direkodkan setakat ini.

Katanya, penurunan jumlah kes harian sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes yang dijalankan terutama dalam tempoh dua minggu lalu.

“Terima kasih kepada barisan hadapan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, polis dan Jabatan Imigresen Malaysia serta badan bukan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, perancangan hari ini akan dapat dinilai hasilnya dalam tempoh dua minggu akan datang.

Sehubungan itu, beliau memohon agar rakyat Malaysia dapat sama-sama menjayakan usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.


No comments: