Sunday, May 26, 2019

Ramai si tanggang moden kejar harta sampai derhaka ibu bapa

fazleen safina  

Tika kedua orang tua masih hidup, hargailah supaya kelak tak menyesal


BANGI– “Tiada apa yang dapat menandingi jasa ibu bapa membesar dan mendidik anak-anak sehingga mereka berjaya di dunia. Ingatlah, sementara ibu bapa masih lagi ada, berilah khidmat terbaik agar suatu hari kelak kamu tidak menyesal.”

Demikian nasihat Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengenang tindakan segelintir anak-anak yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua, biarpun mereka mampu untuk menjaga.

Beliau berkata, apa sahaja alasan yang diberikan, hakikatnya tempat ibu bapa khususnya yang telah uzur adalah di sisi anak mereka.

Malangnya, masih ramai si tanggang moden yang muncul sekarang ini, hanya kerana mengejar kekayaan dan harta di bandar, sehinggakan ibu bapa ditinggalkan di kampung dan langsung tidak dijenguk.

“Ibu dan bapa sebenarnya mempunyai hak terhadap anak terutama apabila mereka tidak berupaya lagi menyara hidup sendiri. Tiada apa yang dapat menandingi jasa ibu bapa membesar dan mendidik anak-anak sehingga berjaya di dunia.

“Bahkan, tidak ada ibu bapa yang mendabik dada mendakwa merekalah ibu bapa terbaik dalam mendidik anak-anak mereka

“Justeru, kisah legenda si tanggang yang disumpah menjadi batu kerana kederhakaannya terhadap ibu sudah cukup menjadi sempadan buat kita semua,” katanya.


No comments: