Presiden MIC SA Vigneswaran mengecam Pakatan Harapan (PH) dengan menyifatkan selama setahun pentadbiran gabungan itu, ia hanya "mengkhianati rakyat".
“Namanya Pakatan Harapan. Tapi, terus mengkhianati rakyat. Inilah pencapaian setahun kerajaan baru Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC, semalam di ibu pejabat MIC.
Menurutnya, PH bukan sahaja menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto tetapi memburukkan keadaan khususnya masyarakat India.
“Kita lihat cara pentadbiran mereka berhubung isu matrikulasi. Saya nak tanya berapakah kerusi diagihkan pada tahun 2018 kepada pelajar India?
“Sebelum PH ambil alih kerajaan pada Mei, kami (BN) janjikan untuk memberi 2,200 pengambilan khas pelajar India ke kolej matrikulasi. Jadi, berapakah jumlah diberikan kepada pelajar India pada tahun 2018?” soalnya.
Tambahnya bahawa satu-satunya kenyataan oleh Menteri Pendidikan Mazlee Malik setakat ini adalah memperuntukkan 1,000 pengambilan khas kepada pelajar Cina bagi tahun 2018.
“Jadi, peruntukkan khas ini diambil dari mana? Kuota pelajar India dikurangkan?” tanya beliau lagi.
Isu matrikulasi kembali menjadi hangat selepas beberapa pelajar India mengadu permohonan ditolak walaupun mendapat 10A dalam SPM.
Susulan itu, beberapa pemimpin MIC tampil mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan status pengambilan khas 2,200 pelajar India ke kolej matrikulasi yang diamalkan ketika pentadbiran BN.
Hasilnya, jemaah menteri membuat keputusan menambahkan kemasukan ke kolej matrikulasi daripada 25,000 ke 40,000 bagi tahun 2020 dengan masing-masing 90 peratus kepada bumiputera dan 10 peratus kepada bukan bumiputera.
Pengumuman itu bagaimanapun tidak menyebutkan secara spesifik pengambilan khas pelajar India.
No comments:
Post a Comment