Exco Pemuda Pergerakan UMNO Malaysia, Mohd. Fariz Abdul Hadi menegaskan, tangkapan terhadap mereka yang tidak berpuasa bukan bertujuan menghukum sebaliknya untuk mendidik.
“Tugas jabatan agama Islam atau majlis agama Islam bukan sahaja kuatkuasa undang-undang syariah malah tugas mereka menjaga martabat dan kedaulatan Islam di Malaysia mengikut undang-undang syariah negeri masing-masing.
“Apabila mereka yang ditangkap tidak berpuasa, pesalah akan diberikan kaunseling agar tidak mengulangi kesalahan tersebut.
“Buat Marina Mahathir, kenapa nak dibandingkan Malaysia dengan undang-undang negara Barat?” katanya dalam entri terbaru di Facebook miliknya, hari ini.
Beliau mengulas ciapan terbaru Marina di laman Twitter semalam yang mempersoalkan orang Islam di Barat yang tidak diintip dan ditangkap jabatan agama.
Marina antara lain berkata, bagaimana orang Islam di negara Barat boleh puasa sampai pukul 9 malam tiap-tiap hari dikelilingi orang yang tidak puasa tanpa diintip atau ditangkap oleh jabatan agama mana-mana.
Fariz juga berkata, penguat kuasa agama di negara ini tidak melakukan tangkapan atau pecah masuk di rumah mereka yang tidak berpuasa.
“Mereka yang ditangkap adalah umat Islam yang tidak berpuasa secara terbuka dan pihak yang menjual makanan kepada mereka tidak berpuasa.
“Ini kerana ia bukan saja menggalak bahkan memberi peluang serta ruang kepada mereka yang tidak berpuasa mendapatkan makanan.
“Bahasa mudahnya, jika tak nak berpuasa hormatilah mereka yang berpuasa,” katanya.- MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment