Saturday, May 4, 2019

Larang transgender jadi guru Kemas elak kanak-kanak keliru

ISMA WEB

Ibu bapa muslim perlu jauhkan anak daripada elemen takhannuth


1. Kementerian Pembangunan Luar Bandar tidak akan membenarkan pengambilan guru Tadika Kemas daripada golongan transgender. Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, ini bagi memastikan golongan kanak-kanak tidak terkeliru dengan status guru yang mengajar mereka.

2. Pendekatan seperti ini pernah dianjurkan oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan di dalam karyanya yang berjudul Tarbiyatul Aulad (Pendidikan Kanak-kanak) yang menyebutkan bahawa ibu bapa Muslim seharusnya menjauhkan anak-anak mereka dari elemen yang membawa kepada ciri-ciri takhannuth (lelaki menyerupai perempuan).

3. Dalam menghuraikan perkara ini, Dr. Abdullah memberikan dalil yang banyak daripada hadith bagaimana kanak-kanak itu seharusnya dijauhkan daripada elemen yang mengelirukan mereka sehingga mereka boleh terpengaruh daripada perlakuan menyerupai wanita.

4. Hadith-hadith larangan menyerupai wanita atau lelaki (seperti yang berlaku pada transgender) ini dikatakan bagi membina jati diri kanak-kanak dan menjauhkan mereka daripada kehilangan sifat kelakian. 

Kata Dr. Abdullah Nasih Ulwan:
كل ذلك من مظاهر التخنث والميوعة، وكل ذلك قتل للرجولة،
Semua ciri-ciri yang menampakkan sifat seperti kecenderungan menyerupai wanita (adalah dilarang) kerana semua tersebut akan mematikan sifat kejantanan seorang lelaki. (Tarbiyatul Awlad, Dr. Abdullah Nasih Ulwan).

5. Bahkan Rasulullah pernah mengusir golongan ini. Pengusiran ini bukanlah atas dasar diskriminasi atau kebencian tetapi bimbang kerana musibah yang dibawa oleh mereka ketika itu.

6. Menurut al-Imam al-Syawkani (Nayl al-Autar, Dar al-Hadith, 1993, 2654), Rasulullah mengusir mukhannath (golongan menyerupai perempuan) ini adalah disebabkan kerana tiga sebab utama iaitu:

(a) أنه كان يظن أنه من غير أولي الإربة ثم لما وقع منه ذلك الكلام زال الظن
Pertamanya mereka menyangkakan bahawa mukhannath yang masuk ke rumah isteri Rasulullah tersebut adalah golongan yang tidak mempunyai nafsu terhadap wanita. Namun setelah mendengar perbualannya tentang perempuan Taif (anak-anak Ghaylan), telah nyata, mukhannath ini mempunyai nafsu atau tahu kehendak nafsu lelaki terhadap wanita, maka Rasulullah mengusirnya. Untuk transgender yang ada pada hari ini, bagaimana kitab oleh tahu mereka yang masuk ke tandas wanita tidak mempunyai nafsu terhadap mereka?

(b) وصفه النساء ومحاسنهن وعوراتهن بحضرة الرجال
Mukhannath tadi telah menceritakan sifat-sifat kecantikan wanita serta aurat mereka ketika beradanya orang lelaki bersama mereka. Ini adalah satu kebimbangan besar. Mukhannath yang duduk bersama Muslimat boleh mengetahui aurat mereka dan mendedahkannya kepada orang lain. Bahkan pada hari ini boleh ambil gambar atau video. Atas dasar itu Rasulullah mengusirnya dari bersama dengan wanita Muslimah.

(c) أنه ظهر له منه أنه كان يطلع النساء وأجسامهن وعوراتهن
Mukhannath tadi terdedah kepada perbuatan meneliti atau melihat tubuh wanita Muslimah dan aurat mereka. Bimbang akan keadaan ini maka Rasulullah mengarahkan kepada isteri Baginda:
 لا يدخل هؤلاء عليكم
“Jangan biarkan mereka ini (mukhannath) masuk bersama dengan kamu (wanita)!”

7. al-Bukhari meriwayatkan arahan Rasulullah yang meminta supaya mereka ini diasingkan kerana bimbang kemudaratan dan bukan kerana kebencian. 

Sabda Rasulullah:
{ أخرجوهم من بيوتكم قال : فأخرج فلانا وفلانا } ورواه البيهقي وزاد ” وأخرج عمر مخنثا ” وفي رواية ” وأخرج أبو بكر آخر “
Keluarkan mereka dari rumah kamu kerana bimbang kesan negative yang mungkin datang. Al-Bayhaqi menambah riwayat ini dengan berkata: Umar turut mengeluarkan/ mengusir mukhannath, dan dalam riwayat yang lain, Abu Bakar turut mengusir yang lain.

8. Mudah-mudahan langkah yang diambil oleh pihak kerajaan ini membantu dalam membina jatidiri Muslim yang sejati dikalangan anak-anak Muslim.


No comments: