Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin dijangka bertemu bagi berbincang tentang laporan media yang memetik kenyataan mufti Perlis itu tentang DAP.
Ia susulan kenyataan Mohd Asri sebelum ini yang berkata wujud persepsi PH gagal mempertahankan Islam kerana pemimpin DAP tidak boleh mengawal diri mereka dari membuat kenyataan yang menimbulkan persepsi itu.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong berkata dia sudah menghubungi Mohd Asri dan mufti Perlis itu sudah bersetuju untuk berjumpa Lim.
"Saya telah menghubungi Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan berbicara berkenaan laporan media baru-baru ini yang kononnya memetik kenyataan beliau tentang DAP dan Islam.
"Mohd Asri telah memberitahu saya bahawa kenyataan yang dilaporkan media adalah berlainan daripada apa yang beliau katakan sebenarnya.
"DAP sentiasa bersedia menerima teguran dan nasihat dengan lapang dada, demi kebaikan bersama dan juga kemaslahatan semua, namun ada keperluan untuk menolak fitnah pihak pembangkang selama ini kononnya DAP menentang syiar dan syariat Islam," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sim turut menyorot baahawa kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP menggandakan peruntukan kepada hal ehwal Islam berbanding semasa zaman pemerintahan BN, melaksanakan program-program seperti pemberian elaun bagi menggalakkan bilangan huffaz dalam negeri, peruntukan tahunan kepada sekolah agama rakyat, dan membangunkan industri halal dengan menyediakan kawasan seluas 100 ekar sebagai Hab Halal.
Di peringkat persekutuan pula, Kata Sim, Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh menteri kewangan memperuntukkan tambahan sebanyak RM100 juta bagi hal ehwal Islam iaitu daripada RM1.1 bilion pada tahun 2018 kepada RM1.2 bilion pada tahun 2019.
"DAP senantiasa menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan berdasarkan Perlembagaan negara, namun difitnah oleh pihak pembangkang sebagai anti-Islam, sedangkan kleptokrat dan perasuah negara pula disanjung oleh mereka.
"Saya berharap semoga silaturahim antara DAP dan Mohd Asri dapat dikekalkan dengan meneruskan perbincangan, dialog dan persefahaman sesama kita," katanya.
No comments:
Post a Comment