POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap individu atau syarikat yang menjual butang baju Melayu tertera logo pasukan keselamatan berkenaan kepada orang awam, termasuk secara dalam talian.
Tindakan itu susulan ada dalam kalangan peniaga yang menjual butang baju Melayu tertera logo PDRM di media sosial, termasuk Facebook.
Difahamkan, penjualan barangan PDRM hanya boleh dibuat melalui syarikat dan peniaga yang dilantik pasukan keselamatan itu dengan proses pembelian bersyarat.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad berkata, peralatan dan kelengkapan pakaian seragam PDRM hanya boleh dijual kepada pegawai polis dengan menunjukkan Kad Sijil Perlantikan.
Beliau berkata, ia termasuk kepada pegawai Sukarelawan Simpanan Polis (SSP), Polis Bantuan, Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan kadet polis.
Menurutnya, penjualan secara dalam talian menyebabkan kesahihan status pembeli dan kad kuasa PDRM yang ditunjukkan tidak dapat dipastikan.
Selain itu, katanya, setiap peniaga yang berlesen dikehendaki mencatatkan butiran pembeli ke dalam Buku Daftar Penjualan, malah pembeli juga dikehendaki menandatangani resit pembelian.
“Proses ini tidak dapat dilakukan sekiranya penjualan di buat atas talian. Penggunaannya (aksesori dan logo) dikhususkan terhadap pakaian seragam PDRM.
“Sekiranya perkara ini tidak dicegah dan dikawal, dikhuatiri akan timbul penjualan secara terbuka yang boleh mengundang perlakuan jenayah, penyamaran dan sebagainya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Asmawati berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kelengkapan dan peralatan seragam PDRM, termasuk butang baju Melayu terbabit tidak dijual secara dalam talian.
“Tindakan segera akan diambil dengan memberi nasihat, membatalkan permit perniagaan atau mengambil tindakan undang-undang jika perlu,” katanya.
No comments:
Post a Comment