Wednesday, May 1, 2019

Bekas juara tilawah ditemui lemah selepas hilang 18 jam

a car parked in a field: KERETA yang dipandu mangsa ditemui dalam semak. - Foto ihsan pembaca© KERETA yang dipandu mangsa ditemui dalam semak. - Foto ihsan pembaca bhnews@bh.com.my

CHUKAI: Bekas juara tilawah al-Quran peringkat antarabangsa pada tahun 1980-an, Alias Abd Rahman, 72, yang hilang hampir 18 jam ditemui selamat di kawasan semak di Kampung Tok Kapur, Binjai, di sini, hari ini.

Alias ditemui terbaring di kawasan semak dalam keadaan dahaga dan kelaparan kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Anaknya, Fairuz, 40, berkata, kehilangan ayahnya disedari ketika dia mahu menjemput ayahnya yang mengajar di Masjid Binjai, di sini, kira-kira jam 9.15 malam semalam.

“Seperti biasa, ayah akan ke masjid dengan kereta dan saya akan mengambilnya kerana mata ayah rabun akibat penyakit kencing manis.

“Bagaimanapun, saya lewat menjemputnya semalam kerana terbabit dalam kemalangan kecil dan sebaik tiba ayah tiada di situ.

“Saya menyangka ayah sudah pulang ke rumah namun sebaik tiba di rumah, ibu, Mariam Abdullah, 74, memaklumkan ayah masih belum pulang sebelum saya segera mencarinya,” katanya.

Katanya, dia bersama ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung tidak tidur mencari bapanya sebelum membuat laporan polis selepas usaha mencari menemui jalan buntu.

Malah, kehilangan warga emas itu turut tular di laman sosial sebelum penduduk kampung menemui kereta Perodua Alza dipandu warga emas terbabit di dalam semak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.

“Saya ke lokasi kejadian tengah hari tadi dan terkejut apabila mendapati bahagian depan kereta ayah rosak akibat terlanggar pokok kelapa yang tumbang di kawasan itu.

“Malah, saya sendiri pelik bagaimana kereta ayah boleh berada di situ kerana kawasan ini tidak dilalui orang ramai,” katanya.

Alias berkata, ayahnya ditemui di kawasan semak kira-kira enam kilometer dari lokasi keretanya oleh seorang penternak lembu yang kebetulan mencari lembunya yang hilang.

“Saya percaya ayah tidak menemui jalan pulang sebelum kereta dipandunya itu terbabas di dalam semak,” katanya yang berterima kasih kepada semua pihak yang turut serta mencari bapanya.

No comments: