Khamis, 22 Mac 2018

Kerajaan galak pemandu teksi gunapakai ‘e-hailing’

 
Menteri di JPM Nancy Shukri mahu pemandu teksi setaraf dengan pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Grab dan Uber.
 
 



KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan pemandu teksi di negara ini menggunapakai perkhidmatan “e-hailing”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya menggalakkan pemandu ini berhijrah kerana mahu mereka setaraf dengan pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Grab dan Uber.

“Banyak (pemandu teksi) yang mengadu pendapatan mereka terjejas. Sebab itu kita memberi peluang kepada pemandu teksi untuk berhijrah.

“Sebab itu kalau dikira dari segi bilangannya, ia satu proses yang berterusan untuk didaftar kerana ada dalam kalangan mereka masih belum memahami kerana mereka boleh memanfaatkan ‘e-hailing’ ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) yang bertanyakan peratusan pemandu teksi yang masih belum diserap dalam sistem “e-hailing” dan adakah kementerian bercadang agar semua pemandu teksi menggunapakai “e-hailing”.

Mengulas lanjut, Nancy berkata terdapat 2 manfaat kepada pemandu teksi yang menggunapakai perkhidmatan e-hailing tersebut.

“Pertama mereka boleh mengambil penumpang dari jalanan. Pada masa yang sama, kalau mereka berhijrah ke ‘e-hailing’ mereka boleh juga mengikut mana-mana syarikat yang ada di Malaysia ini tak kira Uber, Grab, mereka boleh manfaat dari situ menggunakan aplikasi (e-hailing).

“Kerajaan juga memberikan geran RM5,000 untuk mereka berhijrah kepada ‘e-hailing’,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 306,780 individu yang berdaftar sebagai pemandu ‘e-hailing’ di Semenanjung Malaysia.

“Jumlah ini mewakili semua penyedia perkhidmatan ‘e-hailing’ bukan sahaja Uber dan Grab tetapi semua syarikat tempatan,” katanya.

Tiada ulasan: