Khamis, 22 Mac 2018

Selepas larangan, Pandikar benarkan laporan persempadanan dibawa keluar Dewan

 
Speaker Dewan Rakyat itu sebelum ini melarang wakil rakyat membaca atau membawa keluar laporan itu, dan mengenakan embargo sehingga Rabu depan.
 
 


KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menarik balik larangannya ke atas ahli Parlimen daripada membawa keluar laporan persempadanan semula kerusi pilihan raya, selepas menerima bantahan wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun, Pandikar berkata kandungan laporan itu tidak boleh disiarkan sehingga Rabu 28 Mac.
Pandikar berkata beliau mengubah fikiran berdasarkan peraturan Parlimen.

“Apabila saya merujuk peraturan mesyuarat 95A, ia tak menyebutkan bahawa laporan persempadanan itu tidak boleh dibawa keluar.

“Jadi saya puas hati bahawa saya punya kuasa budi bicara, ia boleh dibawa keluar, tetapi menurut peraturan mesyuarat 95A, tidak boleh disiarkan dengan apa cara sekali pun,” katanya.

Menurutnya, sekiranya ada kandungan dalam dokumen itu tersiar “dengan apa cara sekali pun”, ia melanggari peraturan mesyuarat..
Sebelum ini, Pandikar mengumumkan laporan kajian semula persempadanan mengenai syor-syor yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah “diletakkan di atas meja” setiap ahli Parlimen.

Pandikar berkata sekiranya beliau benarkan laporan tersebut dibawa keluar dan disiarkan, tidak ada ahli Parlimen yang akan mengaku.

Ia bagaimanapun menerima bantahan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

“Kalau Tan Sri tak benarkan kami membawa keluar, terpaksa akur. Tapi sekurang-kurangnya kita harus diberikan ruang untuk membacanya dan ini (laporan) panjang,” kata Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Kali terakhir proses persempadanan semula ialah pada 2003. Ia sepatutnya dijalankan pada 2011 tetapi ditangguhkan untuk memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang diadakan pada 5 Mei 2013.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh tidak kurang 8 tahun selepas setiap kali persempadanan semula sebelum itu dan tidak boleh melebihi tempoh 10 tahun.

Tiada ulasan: