KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan Rabu ini untuk
mendengar permohonan semakan semula hukuman dikenakan terhadap Datin
Rozita Mohamad Ali, 44, yang mengaku bersalah mendera pembantu rumahnya.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, ketika dihubungi media sebentar tadi.
Beliau terdahulu memaklumkan bahawa notis perakuan segera difailkan
hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam dan kes
itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah pada
jam 9 pagi Rabu ini.
Pada 15 Mac lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed
Mokhzani Mokhtar, memutuskan Rozita dikenakan bon berkelakuan baik lima
tahun dengan jaminan RM20,000.
Ia selepas Rozita mengaku bersalah atas kesalahan menyebabkan
kecederaan parah terhadap pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti
Sutrinso, 19.
Tertuduh, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah dan mohon
dibicarakan, bagaimanapun menukar pengakuan selepas pertuduhan pindaan
ditawarkan kepadanya.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, Rozita didakwa menyebabkan kecederaan
parah terhadap Suyanti dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru,
sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru,
sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih yang
digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30,
Mutiara Damansara, di sini antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun
2016 dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan